KOTA BELUD: 5 Oktober 2025 – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensinya TEKUN Nasional menyalurkan pembiayaan berjumlah RM816 juta kepada lebih 30,000 usahawan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick, berkata dari jumlah tersebut, RM95 juta disalurkan kepada 4,150 usahawan di Sabah, manakala RM9.1 juta membabitkan 287 usahawan telah diagihkan khusus di daerah Kota Belud.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penutupan Taklimat Pembiayaan Keusahawanan TEKUN Nasional dan agensi-agensi KUSKOP bagi kawasan Taginambur, yang berlangsung di Dewan Gopog, Kota Belud, hari ini.
Menurutnya, antara produk terbaik TEKUN ialah Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) yang diperkenalkan pada 2023 khas untuk usahawan tamu di Sabah dan Sarawak.
Skim itu mencatatkan kadar bayaran balik amat baik dengan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) hanya 0.5 peratus.
Ewon turut menegaskan peranan penting perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam memacu pembangunan ekonomi negara.
Katanya, usahawan bukan sahaja menjana pendapatan untuk keluarga, malah membuka peluang pekerjaan dan menggerakkan ekonomi komuniti setempat.
Cabaran utama usahawan luar bandar, khususnya di kawasan seperti Taginambur, menurut beliau, adalah akses kepada modal dan latihan keusahawanan.
Justeru, program seperti taklimat pembiayaan TEKUN dilihat penting bagi memberi pendedahan tentang pelbagai skim sokongan, termasuk Skim Pembiayaan Informal & Mikro (SPIM) dan SPUT.
Beliau menambah, KUSKOP telah mengemukakan kepada Kementerian Kewangan cadangan agar program-program khas untuk masyarakat serta usahawan di Sabah dan Sarawak diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Turut hadir, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Dato’ Adam Abdul Ghani, bersama pegawai-pegawai kanan agensi berkenaan.
Sumber: BERNAMA, Nabalu News