TELUPID: 3 Oktober 2025 – Daerah Telupid bakal memiliki sebuah dewan baharu yang dijangka menjadi mercu tanda serta lambang identiti masyarakat setempat, selepas berlangsungnya Majlis Pecah Tanah projek berkenaan pagi tadi.
Projek yang membabitkan peruntukan RM5 juta itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, pada 2022 semasa Perayaan Kaamatan Peringkat Daerah Telupid. Namun, pelaksanaannya mengambil masa berikutan beberapa faktor termasuk proses perolehan, kelulusan birokrasi, dan pemilihan tapak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Datuk Jonnybone J. Kurum, menegaskan dewan berkenaan bukan sekadar sebuah struktur fizikal, tetapi perlu mencerminkan budaya, sejarah, dan warisan Telupid. Beliau mahu Valai Pisompuruan menjadi ruang yang berjiwa, selain menjadi simbol perpaduan dan kebanggaan masyarakat.
Katanya, dewan baharu berkenaan akan dibina di kawasan belakang Tadika KEMAS Telupid, setelah beberapa cadangan tapak terdahulu ditolak atas faktor kesesuaian dan pertindihan.
Jonnybone menegaskan bahawa, dengan waran kewangan sudah berada di Pejabat Daerah Telupid serta kontraktor pelaksana dilantik, pembinaan dijangka bergerak lebih lancar.
Beliau turut menyeru semua pihak memastikan dokumentasi, izin laluan dan proses teknikal lain tidak lagi melambatkan jadual pembinaan, agar projek dapat disiapkan mengikut perancangan.
Majlis pecah tanah yang berlangsung di Gelanggang Majlis Daerah Telupid tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Telupid, Celestine Jetony, dan semua Ketua Jabatan serta Agensi Kerajaan Daerah Telupid.