PENAMPANG: 3 Oktober 2025 – Tindakan tegas polis berjaya menumpaskan kegiatan perjudian haram selepas sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Penampang melakukan serbuan di kawasan kaki lima Taman Jumbo, Petagas, pada malam 1 Oktober.
Dalam operasi hasil maklumat orang awam melalui platform QR Code Aduan Masyarakat itu, seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki mengendalikan aktiviti loteri awam tanpa lesen, manakala seorang wanita tempatan pula diberkas atas pembabitan dalam perjudian jenis wah hui.
Pemeriksaan lanjut menemukan wang tunai yang dipercayai hasil pertaruhan serta pelbagai peralatan berkaitan perjudian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Polis menegaskan usaha membanteras aktiviti perjudian tidak berlesen akan diteruskan dan menyeru orang ramai terus menyalurkan maklumat bagi memastikan kesejahteraan sosial masyarakat terpelihara.
Sumber: Kenyataan Media