Dua Lelaki Termasuk Warga Asing Ditahan Positif Dadah di Sandakan

SANDAKAN: 02 Oktober 2025 – Dua lelaki termasuk seorang warga asing ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi “Ops Tapis Narkotik” di dua lokasi berasingan di daerah Sandakan pada Rabu.

Operasi yang dijalankan dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang itu diketuai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sandakan dengan kerjasama Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dalam serbuan pertama, seorang lelaki tempatan ditahan di perumahan Taman Tyng, Batu 6, kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu.

Suspek ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Serbuan kedua menyaksikan seorang lelaki warga asing ditahan di Kampung Bahagia.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang membawa hukuman lebih berat. Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke pejabat BSJND untuk ujian saringan air kencing, dan hasil pemeriksaan mengesahkan mereka positif dadah.

Mereka kini direman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bagi siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman menegaskan operasi seumpama itu akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan daerah Sandakan bebas daripada ancaman dadah.

Sumber: Polis Daerah Sandakan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal