KUALA LUMPUR: 29 September 2025 – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengumumkan pelancaran pasukan Pemantau Pilihan Raya bagi mengawasi perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.
Sebanyak 100 pemantau akan digerakkan di 30 daripada 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk kerusi marginal, kawasan tumpuan Ketua Menteri, serta DUN yang pernah terpalit isu rasuah dan lompat parti.
Pemantauan akan dijalankan secara fizikal dan dalam talian, selain penganjuran bengkel mendidik rakyat mengenai peranan mereka sebagai pengundi.
Menurut Bersih, fokus utama pemantauan adalah membanteras politik wang sebelum dan sepanjang tempoh berkempen.
Gabungan itu turut mengingatkan pengundi agar menolak sebarang bentuk sogokan atau rasuah pilihan raya kerana tindakan itu hanya menggalakkan penggunaan dana politik tidak sah.
Bersih juga mengambil maklum mengenai pendedahan video yang mendakwa beberapa pemimpin Sabah menerima sogokan, sambil menegaskan perkara itu mungkin hanyalah permulaan terhadap kegiatan aliran dana politik kotor.
Dalam masa sama, Bersih menggesa semua pihak media termasuk saluran rasmi kerajaan negeri dan persekutuan memberi liputan seimbang kepada semua calon bagi mewujudkan medan persaingan yang adil.
Tempoh penggal DUN Sabah dijadual tamat secara automatik pada 11 November ini sekiranya tiada pembubaran dibuat lebih awal, sekali gus membuka jalan kepada PRN ke-17.
Sumber: Malaysia Gazette