Tamu Desa Jadi Pemangkin Ekonomi Luar Bandar, KUSKOP Perluas Projek di Sabah dan Sarawak

TELUPID: 22 September 2025 – Inisiatif pembinaan dan naik taraf Tamu Desa yang digerakkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memberi impak positif kepada komuniti luar bandar, khususnya golongan peniaga kecil di Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, usaha ini lahir dari ilham meningkatkan keselesaan peniaga yang sebelum ini hanya berniaga di bawah kanopi kecil tanpa kemudahan asas yang kondusif.

Pada tahun lalu, sebanyak RM19 juta diperuntukkan dengan lebih 100 projek Tamu Desa dilaksanakan, meliputi 36 projek di Sabah dan 13 di Sarawak bagi fasa pertama. Seterusnya, fasa kedua pada 2024 menyaksikan 25 projek di Sabah dan 26 di Sarawak.

Katanya ketika menjawab media semasa perasmian Tamu Desa di Telupid pada 21 September 2025, bagi tahun 2025, projek ini terus giat dijalankan dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan kementerian yakin Belanjawan 2026 akan memberi perhatian khusus untuk kesinambungannya.

Ewon menambah, pihak kementerian menerima banyak permohonan dari pihak berkuasa tempatan dan daerah untuk mewujudkan Tamu Desa baharu, mencerminkan keperluan tinggi terhadap fasiliti yang lebih teratur bagi peniaga dan pembeli.

Beliau menegaskan KUSKOP komited melaksanakan tanggungjawab tersebut, termasuk mengambil langkah yang sesuai untuk membantu usahawan kecil, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan rakyat dan pembangunan inklusif.

Dengan pelaksanaan berterusan projek Tamu Desa, ia diyakini dapat menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat serta membuka lebih banyak peluang kepada usahawan mikro luar bandar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal