Mangsa Banjir Sabah Menurun, 2,602 Masih Berlindung di PPS

KOTA KINABALU: 19 September 2025 – Jumlah mangsa banjir di Sabah menunjukkan penurunan pagi ini apabila 2,602 orang daripada 806 keluarga masih ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 3,325 orang daripada 964 keluarga petang semalam.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, PPS yang dibuka melibatkan enam daerah iaitu Beaufort, Penampang, Membakut, Papar, Putatan dan Sipitang.

Daerah Penampang mencatatkan penurunan jumlah mangsa, manakala lima daerah lain kekal dengan angka sama.

Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan pedalaman Sabah berdepan ribut petir pada sebelah petang, manakala kawasan lain dijangka mengalami keadaan sama pada waktu malam.

Di Sarawak, seramai 13 mangsa daripada tiga keluarga masih berada di PPS Dewan Suarah Marudi setakat jam 6 pagi tadi, menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman Public Info Banjir, paras sungai di beberapa lokasi di Sarawak kekal melepasi tahap bahaya.

Bacaan di stesen Long Teru, Miri mencatat 9.13meter (bahaya: 8 meter), manakala di Marudi 4.38meter (bahaya: 3.25 meter) dan di Lubok Piasau II, Limbang 2.24 meter (bahaya: 2.2 meter).

Sumber: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal