Program Iltizam Wanita UPKO Telupid Kukuhkan Kepimpinan dan Penyertaan Komuniti

TELUPID: 14 September 2025 — Program Iltizam Wanita UPKO Telupid berjaya menarik kehadiran lebih 60 peserta di Institut Pendidikan Sabah (IPS) Telupid pada 12 September 2025, sekali gus menzahirkan komitmen wanita dalam memperkukuh kepimpinan serta peranan mereka kepada komuniti.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Bahagian UPKO Beluran, Felix Joseph Saang, yang menegaskan wanita merupakan tonggak penting dalam membentuk masyarakat progresif dan berdaya saing. Beliau turut mengiktiraf sumbangan Wanita UPKO Telupid dalam memperkukuh jaringan kerjasama serta menyambut baik penyertaan ahli baharu.

Tiga penceramah diundang bagi mengisi program ini, iaitu Rowindy Lawrence, Dr. Nicole Wong, dan Fauziah Kudus. Antara fokus ceramah termasuklah memperjuangkan aspirasi 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan, mengukuhkan peranan wanita dalam parti dan komuniti, serta memberi inspirasi kepimpinan dan kesedaran politik kepada generasi baharu.

Program anjuran Wanita UPKO DUN Telupid ini turut merekodkan pencapaian positif dengan penerimaan 35 borang keahlian baharu, sekali gus memperkukuh sokongan akar umbi terhadap perjuangan parti.

Dalam ucapannya, Felix menyeru agar wanita Telupid terus beriltizam meningkatkan ilmu dan kemahiran, di samping menjadi ejen perubahan yang progresif. Beliau menegaskan pentingnya nilai kesetiaan, disiplin, dan semangat berpasukan dalam merealisasikan visi #telupidprogresif demi kemajuan Telupid dan Sabah secara keseluruhan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal