KeTCA dan SAFVA Anjur Pertandingan Filem Pendek Promosi Pelancongan Keningau

KENINGAU: – Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau (KeTCA) dan Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) Zon Keningau telah mengumumkan kerjasama strategik untuk menganjurkan pertandingan filem pendek. Inisiatif itu bertujuan untuk memanfaatkan kreativiti penggiat seni tempatan dalam mempromosikan daerah Keningau sebagai destinasi pelancongan yang unggul.

Pengumuman ini dibuat bersempena majlis penutupan Bengkel Asas Seni Lakon anjuran SAFVA, yang diadakan di Taman Bandukan Riverside Resort, Keningau baru-baru ini.

Pengerusi KeTCA, Rafie Robert, menegaskan komitmen persatuannya untuk menyokong penuh sebarang aktiviti kreatif di Keningau, termasuk bengkel latihan dan penerbitan filem.

“Kami percaya bahawa penglibatan aktif komuniti kreatif adalah penting dalam mempromosikan daerah Keningau. Kerjasama dengan SAFVA ini akan membolehkan para penggiat kreatif memainkan peranan penting dalam mempromosikan pelancongan dan kebudayaan Keningau melalui medium filem dan media sosial,” ujar Rafie.

Sebagai langkah awal, KeTCA dan SAFVA akan menganjurkan pertandingan filem pendek yang akan dikendalikan oleh SAFVA Zon Keningau. Butiran lanjut mengenai tema dan terma pertandingan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Bengkel Asas Seni Lakon, yang berlangsung selama dua hari bermula 6 September hingga 7 September 2025, telah berjaya menarik penyertaan seramai 24 peserta.

Mereka didedahkan dengan pelbagai teknik asas lakonan, termasuk lakonan untuk kamera, pembangunan watak dan skrip, penggambaran asas, serta istilah set.

Program ini memberi penekanan kepada latihan praktikal, yang meliputi 60 peratus daripada keseluruhan bengkel.

Pengerusi Penganjur bengkel, Vellasyah Magaloi, yang juga merupakan Ketua SAFVA Zon Keningau, merakamkan penghargaan kepada Taman Bandukan Riverside Resort Keningau, Cinnamon Park Keningau, dan RL Olumis Café & Catering atas tajaan tempat, makanan, dan jamuan sepanjang program tersebut.

Beliau juga menyampaikan penghargaan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) kerana membiayai sebahagian besar kos penganjuran bengkel tersebut.

Turut hadir pada majlis penutupan ialah Presiden SAFVA, Chester Pang; Ketua Bahagian Kreatif, Pembangunan Kapasiti dan Ekosistem SCENIC, Eva Chris Anthony; Naib Presiden SAFVA, Zahm Zulkifli; Exco SAFVA, Johari Abdullah; serta AJK SAFVA Zon Keningau, Ryot A Ujin dan Riano Engah. Kerjasama ini dijangka menjadi pemangkin kepada perkembangan industri kreatif di Keningau, sekaligus mempromosikan keunikan pelancongan dan kebudayaan daerah tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal