KOTA KINABALU: 4 September 2025 – Sebuah patung bersaiz manusia dengan ketinggian hampir sama seorang kanak-kanak dibawa masuk ke Mahkamah Koroner, jam 9 pagi tadi. Patung itu dibawa oleh pasukan peguam Datuk Ram Singh yang mewakili saksi kanak-kanak dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Tindakan membawa patung tersebut dibuat selepas ia dicadangkan kepada koroner semalam bagi membantu penjelasan keterangan saksi pertama pada prosiding hari ini. Langkah itu dijangka memberi gambaran lebih jelas berhubung keterangan yang akan disampaikan di mahkamah.
Pada masa sama, Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, dijadual menyambung keterangannya mengenai punca kematian Allahyarhama Zara Qairina pada hari kedua inkues berkenaan.
Dalam keterangannya semalam, Dr Jessie mendedahkan bahawa kecederaan yang dialami Allahyarhama berdasarkan pemeriksaan adalah konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.
Beliau turut menjelaskan bahawa kejadian itu tidak mungkin berlaku secara tidak sengaja atau akibat ditolak dari koridor di tingkat tiga bangunan asrama sekolah mangsa, ketika insiden pada awal pagi 16 Julai lalu.
Menurut Dr Jessie, hasil pemeriksaan lokasi dan perbandingan ketinggian mangsa dengan pagar konkrit koridor mendapati keadaan tersebut tidak memungkinkan Allahyarham terjatuh sendiri atau ditolak.
Sumber: Buletin Tv3

