KOTA KINABALU: 24 Ogos 2025 – Penganjuran Sabah Moto Day 8.0 disifatkan sebagai platform besar belia permotoran di Borneo, sekali gus menolak tanggapan bahawa acara itu hanya sekadar hiburan atau “lawak”.
Edisi kelapan ini merekodkan penyertaan lebih 60,000 motosikal dari Sabah, Sarawak, Labuan, Brunei, Kalimantan, dan Semenanjung Malaysia.
Kehadiran puluhan ribu belia setiap tahun menunjukkan penerimaan luas terhadap program yang bukan sahaja meraikan budaya permotoran, tetapi juga menolak gejala negatif seperti lumba haram dan penyalahgunaan dadah.
Menurut Pengerusi Skuad Antidadah Negeri Sabah merangkap Pengerusi Bersama Sabah Moto Day 8.0, Datuk Haji Mazlan @ Joehari Manan, acara berkenaan dirancang dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Skuad Antidadah.
Acara itu turut memberi ruang kepada generasi muda mendekati institusi kewangan seperti KWSP dan BSN untuk meningkatkan kesedaran menabung dan mengurus kewangan, selain membuka peluang kepada usahawan automotif serta menyuburkan perpaduan kaum melalui pelbagai aktiviti sosial.
Perasmian oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, mengukuhkan lagi nilai program ini apabila beliau mengumumkan bantuan caruman bernilai RM600,000 kepada 11,000 pemandu e-hailing di negeri itu.
Hajiji turut menzahirkan solidariti kepada keluarga Allahyarhamah adik Zara Qairina, memperlihatkan sisi empati sosial dan keprihatinan kerajaan negeri.
Mazlan menjelaskan bahawa perbandingan dengan program belia di negeri lain adalah tidak tepat kerana Sabah memiliki pelbagai inisiatif tersendiri, termasuk Felo SMJ, Pidato Piala Ketua Menteri, dan Dewan Undangan Belia Sabah.
Pendekatan itu katanya merangkumi hiburan, ekonomi, sosial dan kepimpinan, sekali gus membuktikan pembangunan belia di Sabah bersifat menyeluruh.
Walaupun terdapat kelemahan dari aspek kawalan dan kebersihan, penganjur telah mengambil langkah penambahbaikan.
Kritikan yang memperlekeh usaha itu beliau sifatkan sebagai cubaan politik semata-mata, sedangkan hakikatnya Sabah Moto Day terus menjadi simbol perpaduan, kesedaran dan aspirasi belia di negeri ini.
Sumber: Sabah News Today