Pumpung Hai Borneo 2025: Dayak Satukan Visi Masa Depan Dari Borneo ke Pentas Dunia

PALANGKARAYA: 22 Ogos 2025 – Forum Dayak Borneo (BDF) yang berlangsung di Palangkaraya menghimpunkan pemimpin, tokoh adat, ahli akademik, NGO, dan generasi muda dari seluruh Sabah, Sarawak, dan Kalimantan, dalam usaha merangka masa depan masyarakat Dayak melalui gagasan “Menggagas Masa Depan Masyarakat Adat Dayak”.

Presiden BDF, Dr Jeffrey G. Kitingan menekankan bahawa perhimpunan ini merupakan gabungan dua momentum besar, Hari Orang Asal Sedunia dan Pumpung Hai Borneo (The Great Borneo’s Assembly), yang memperlihatkan kehadiran aktif masyarakat Dayak dalam peradaban global.

Beliau menegaskan bahawa kekayaan sumber alam Borneo tidak seiring dengan kemajuan sosio-ekonomi masyarakatnya akibat kesan penjajahan dan kekurangan infrastruktur, namun pemindahan pusat pentadbiran Indonesia ke Borneo dilihat sebagai pemangkin transformasi melalui kerjasama Kalimantan, Sabah, dan Sarawak.

Forum itu mengangkat tema “Quo Vadis, Dayak?” dengan fokus kepada strategi pembangunan sosio-ekonomi, digital, dan budaya. Antara agenda utama ialah pemuliharaan hukum adat, pembangunan ekonomi kreatif dan lestari, pengukuhan pendidikan berasaskan nilai budaya, pembangunan eko-pelancongan serantau, serta pengiktirafan peranan wanita Dayak.

Infrastruktur penghubung seperti projek Kereta Api Trans-Kalimantan dan perluasan jaringan internet turut dikenalpasti sebagai kunci kemajuan, dengan syarat masyarakat Dayak menjadi pemain aktif dalam ekonomi baharu dan bukan sekadar pemerhati.

Cadangan strategik lain termasuk penubuhan semula Borneo Games dan Pesta Kebudayaan Borneo bagi memperkukuh ikatan budaya, penubuhan sekolah adat di seluruh Borneo, serta memperkuatkan suara masyarakat Dayak di peringkat antarabangsa melalui Dayak International Organization (DIO) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Kitingan menggariskan bahawa inisiatif ini bertujuan membina jambatan antara tradisi dan modernisasi, serta memperkukuh identiti lokal dalam arus globalisasi.

Forum berkenaan juga menyeru kepada tindakan nyata agar deklarasi yang dibentuk tidak hanya menjadi catatan perbincangan tetapi menghasilkan pelan pembangunan bersepadu untuk masyarakat Dayak.

Majlis berprestij ini turut dihadiri Gabenor Kalimantan, Timbalan Premier Sarawak, Timbalan Ketua Menteri Sabah, ahli Dewan Rakyat dan Senator, tokoh adat, akademik, aktivis, serta generasi muda Dayak dari seluruh Borneo.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal