Terlepas Hukuman Mati, Bapa Lima Anak Dijatuhi Penjara Seumur Hidup Kes Dadah 28kg

TAWAU: 22 Ogos 2025 – Seorang bapa kepada lima anak dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Tawau selepas disabitkan bersalah mengedar lebih 28 kilogram dadah dua tahun lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Sabri Ahmad Yakup, 30, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, Mohd Sabri didakwa mengedar 9,904.9 gram Methamphetamine dan 18,733.6 gram Cannabis di kawasan parkir berhampiran sebuah restoran di Pusat Komersil Ba Zhong, kira-kira jam 3.30 petang pada 20 Disember 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, berserta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Sepanjang perbicaraan bermula 9 Jun lalu, pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif mengemukakan enam saksi, manakala pembelaan menampilkan tiga saksi termasuk tertuduh.

Peguam Darmin Acho yang mewakili Mohd Sabri merayu supaya hukuman mati diketepikan dengan merujuk kepada Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Namun, mahkamah menerima hujah pendakwaan bahawa kepentingan awam lebih utama meskipun tertuduh adalah pesalah kali pertama.

Selepas menilai semua keterangan, mahkamah mensabitkan tertuduh bersalah dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 20 Disember 2023.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal