KOTA KINABALU: 20 Ogos 2025 – Pertandingan Debat Terbuka (Belia) Piala Presiden UPKO 2025 akan berlangsung pada 22 dan 23 Ogos ini di Dewan Auditorium Pascasiswazah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), menghimpunkan golongan muda Sabah dalam satu medan wacana intelektual yang menekankan prinsip rasional serta kematangan berhujah.
Bertemakan “Dari Wacana ke Wawasan: Belia Berprinsip, Sabah Progresif”, pertandingan yang berlangsung selama dua hari di Dewan Auditorium Pascasiswazah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dianjurkan oleh Biro Hubungan Antarabangsa UPKO dengan kerjasama Pergerakan Generasi Muda UPKO Pusat serta Persatuan Literasi Dasar dan Diplomasi Sabah (SPADE).
Majlis perasmian bakal disempurnakan oleh Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick. Beliau yang juga merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), menegaskan kepentingan wacana sihat sebagai asas melahirkan pemimpin muda yang berpandangan jauh.
Pertandingan ini menyasarkan penyertaan belia berusia antara 18 hingga 30 tahun, melibatkan sepuluh pasukan dari kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi serta belia berkerjaya.
Setiap perdebatan dijalankan dalam Bahasa Melayu dengan format ala parlimen Malaysia, menampilkan peranan Perdana Menteri, anggota kerajaan, Ketua Pembangkang serta barisan pembangkang.
Menurut Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa UPKO, Rowindy Lawrence Odong, bersama Pengerusi Penganjur, Emmanuel Atin, penganjuran ini bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat pendebat muda tetapi juga memperkukuh budaya berhujah secara rasional dan profesional dalam kalangan masyarakat.
Secara keseluruhan, pertandingan ini diharap dapat memperkukuh peranan belia dalam proses demokrasi dan meningkatkan imej UPKO sebagai parti yang mendukung nilai intelektual serta progresif untuk Sabah.