KOTA KINABALU: 14 Ogos 2025 – Pasukan peguam yang mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) mendakwa mana-mana individu yang terbabit dalam perbuatan buli terhadap remaja tersebut.
Gesaan dibuat susulan pendedahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, bahawa hasil siasatan Pasukan Petugas Khas menemui keterangan yang menjurus kepada kejadian buli sebelum insiden menimpa zara.
Menurut pasukan peguam, sekiranya keterangan tersebut dapat dipertanggungjawabkan di mahkamah, individu terlibat harus didakwa di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Mereka berkata, dalam kes itu inkues mungkin tidak lagi diperlukan. Namun, jika bukti dirasakan lemah atau tidak mencukupi, mereka mencadangkan agar siasatan lanjut diteruskan sambil inkues dijalankan serentak, sebelum sebarang pendakwaan dapat diteruskan kemudian.
Pasukan guaman itu yang dianggotai oleh Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser, turut menafikan hebahan media sosial yang kononnya menyatakan anak guam mereka bertanggungjawab dalam kematian Zara. Mereka menyifatkan dakwaan itu sebagai “plot twist” yang tidak benar dan berniat jahat.
Mereka turut merakamkan penghargaan kepada JSJ Bukit Aman, khususnya Datuk M Kumar dan Pasukan Petugas Khas, atas tindakan pantas dalam menyiasat kes tersebut.
“Kami merayu kepada individu yang memiliki maklumat untuk menyalurkannya kepada polis. Jika bimbang atau takut, anda boleh berjumpa dengan kami untuk mendapatkan bantuan,” kata mereka.
Sumber: Sabah Media