TAWAU: 13 Ogos 2025 – Seorang wanita berusia 36 tahun bersama anak lelakinya berumur sembilan tahun meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan selepas menghadiri sebuah majlis perkahwinan di Kampung Batu 4, Jalan Apas, di sini pada Sabtu lalu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh, kedua-dua mangsa dilaporkan mengalami muntah dan cirit-birit sebelum disahkan meninggal dunia pada Selasa.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa menghadiri majlis kenduri berkenaan dan membawa pulang makanan yang turut dimakan oleh suaminya.
Lelaki itu juga mengalami simptom sama sejak pagi Ahad hingga petang Isnin.
Beliau memaklumkan, maklumat awal menunjukkan beberapa tetamu lain yang hadir ke majlis itu turut mengalami gejala serupa.
Punca sebenar kejadian masih disiasat dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah telah berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat, yang mengesahkan tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuh mereka.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, sementara sampel makanan dan bahan bukti lain telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis.
Pihak polis juga akan mendapatkan keterangan tetamu lain yang dipercayai mengalami simptom sama bagi membantu siasatan.
Sumber: Sabah Dimensi