SOOK: 11 Ogos 2025 – Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup menegaskan perpaduan adalah asas utama untuk memastikan kemajuan dan keharmonian negara terus terpelihara.
Beliau mengingatkan masyarakat agar tidak terpengaruh dengan dakyah yang boleh menggugat perpaduan antara Sabah dan Semenanjung.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia perlu menjadi contoh perpaduan kepada negara serantau, terutama dalam menghadapi ketidakstabilan geopolitik di rantau ini.
Arthur menyampaikan kenyataan itu selepas merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di Kampung Kapayan Baru, Daerah Sook.
Program KMJG bertujuan menyemarakkan semangat kemerdekaan dan menyatupadukan masyarakat, terutamanya melibatkan golongan muda untuk meneruskan kesinambungan perjuangan kemerdekaan demi kemajuan negara.
Selain itu, beliau turut melancarkan inisiatif pemeliharaan alam sekitar dengan melepaskan benih ikan ke Sungai Pegalan sebagai usaha memastikan kelestarian untuk generasi akan datang.
Majlis diakhiri dengan penandatanganan buku catatan KMJG dan pelepasan konvoi ke destinasi seterusnya.
Sumber: Sabah Media