PETALING JAYA: 10 ogos 2025 – Keadaan jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang telah 23 hari dikebumikan mengejutkan apabila wajahnya kelihatan sempurna seolah-olah baru meninggal dunia dan tidak berbau busuk.
Perkara itu dikongsi pengguna Facebook, Shahrizal Mohd Shom, yang menyaksikan sendiri proses penggalian semula kubur remaja berusia 13 tahun semalam, untuk tujuan bedah siasat di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Penggalian semula kubur bermula kira-kira pukul 5.30 petang dan jenazah dibawa keluar dua jam kemudian sebagai sebahagian siasatan kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama pada 16 Julai lalu.
Shahrizal turut mendakwa terhidu bau harum di kawasan perkuburan.
“Jenazah masih utuh, wajahnya seperti baru meninggal, dan tiada bau busuk. Allah SWT menjaga tubuhnya lebih daripada kami semua yang memperjuangkan namanya,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Proses bedah siasat yang diketuai pakar patologi Dr. Jessie Hiu bermula kira-kira jam 9 pagi tadi, yang turut dihadiri oleh ibu Allahyarham, Noraidah Lamat.
Sebelum ini, kes kematian Zara Qairina telah mencetuskan perhatian awam dan media sosial dipenuhi pelbagai spekulasi sehingga mendorong pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut bagi mendapatkan kepastian punca kematian.
Sumber: Kosmo Online
