TELUPID: 5 Ogos 2025 – Pertandingan Debat Generasi Madani Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di SMK Telupid menobatkan Pasukan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau sebagai johan keseluruhan, sekali gus membuktikan keunggulan mereka dalam arena perdebatan sekolah.
Naib johan dimenangi oleh PPD Kota Kinabalu manakala tempat ketiga disandang oleh PPD Penampang.
18 Pasukan dari seluruh menyaksikan pertandingan akhir secara bersemuka pada 4 hingga 5 Ogos, selepas selesai pusingan awal secara hibrid pada 28 dan 29 Julai lalu.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Datuk Dr. Jonnybone J. Kurum, Setiausaha Politik Timbalan Menteri II dan ADUN N.47 Telupid, yang menekankan pentingnya platform debat sebagai wadah melatih generasi muda yang bukan sahaja petah berbicara tetapi juga berjiwa besar dan berhati rakyat.
“Debat bukan sekadar pertandingan hujah, tetapi medan mengasah fikiran, memperkukuh daya berhujah, serta melatih anak muda untuk menyuarakan pendapat secara beradab dan matang. Inilah semangat Generasi Madani, generasi yang berilmu, beretika dan berketerampilan. Kepintaran berhujah mesti didasari oleh nilai dan fakta,” katanya.

Beliau turut menyeru agar kelebihan berbahasa digunakan untuk menyatukan, bukan memecahbelahkan; ilmu dimanfaatkan untuk membina, bukan menghancurkan; dan bahasa dituturkan untuk mengangkat martabat diri dan bangsa.
Program yang berlangsung secara fizikal selama dua hari itu berjaya menyerlahkan bakat serta kepetahan berhujah para peserta. Antara yang paling menonjol ialah pendebat dari PPD Sandakan, Mohammad Syahrie, yang dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan selepas meraih markah tertinggi, setara dengan pendebat PPD Tawau, Noraezma Binti Mada’ali @ Joharie.