Premis Hiburan Diserbu, Penjaga Ditahan dan Peralatan Muzik Dirampas

PENAMPANG: 18 Julai 2025 – Sebuah premis hiburan di New World Commercial Centre, Penampang diserbu pihak polis dalam satu operasi bersepadu dikenali sebagai Op Noda (Pusat Hiburan) yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Dalam operasi tersebut, seorang lelaki berusia 18 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis telah ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti hiburan awam tanpa lesen serta beroperasi melebihi had masa yang dibenarkan.

Polis turut merampas pelbagai peralatan muzik milik premis bagi membantu siasatan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 3 dan Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam 1958, dan semua barang rampasan bersama suspek telah dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan setiap pengusaha premis hiburan mematuhi undang-undang dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Beliau turut mengingatkan pengusaha premis hiburan agar sentiasa memastikan lesen hiburan awam diperoleh secara sah dan operasi dijalankan mengikut masa yang dibenarkan pihak berkuasa.

Menurut beliau, IPD Penampang kekal komited dalam usaha menjaga keselamatan serta kesejahteraan masyarakat melalui tindakan penguatkuasaan berterusan terhadap premis-premis yang melanggar undang-undang.

Sumber: Polis Daerah Penampang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal