Padah Memiliki Bakakuk, Seorang PATI Ditahan

Share the news

TAWAU: 10 Julai 2025 – Seorang lelaki warga asing yang bekerja sebagai buruh ladang ditahan selepas disyaki memiliki selaras bakakuk atau senapang patah buatan sendiri dalam satu serbuan di kawasan Ladang Brumas, semalam.

Tangkapan dilakukan kira-kira jam 8.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama Balai Polis Kalabakan, susulan maklumat awam berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan.

Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan satu laras senapang patah buatan sendiri, tiga butir peluru hidup dan satu unit sarung senjata. Suspek menunjukkan lokasi senjata itu disembunyikan sebelum ditahan.

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bombalai bersama barang rampasan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Polis menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pemilikan senjata api secara haram dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang melanggar undang-undang.

Orang ramai diminta untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan kegiatan mencurigakan melalui talian Hotline IPD Tawau di 089-772121, hadir ke balai polis berhampiran, atau menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Sumber: Polis Daerah Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal