Cubaan Pencerobohan dan Samun Gagal, Dua Lelaki Ditahan di Tawau

Share the news

TAWAU: 10 Julai 2025 – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki menceroboh sebuah bilik sewa dan cuba menyerang seorang wanita dalam kejadian yang berlaku di sekitar bandar Tawau, Ahad lalu.

Suspek berusia 20 tahun diberkas sepasukan anggota Strike Team dari Balai Polis Tawau kira-kira jam 10.15 malam, di kawasan tempat letak kereta sebuah rumah inap desa.

Tangkapan susulan laporan seorang wanita berusia 25 tahun yang memaklumkan suspek telah menyelinap masuk ke biliknya ketika dia sedang tidur, sebelum bertindak menekup mulutnya dalam cubaan untuk menyamun. Mangsa bagaimanapun berjaya menolak suspek keluar dan menyelamatkan diri.

Suspek dilaporkan masih berada di luar rumah selepas insiden, menyebabkan ketakutan dalam kalangan penghuni yang lain.

Hasil siasatan mendapati tiada kehilangan harta benda, namun tindakan pantas mangsa telah menggagalkan cubaan jenayah tersebut.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan maklumat risikan membantu polis mengenal pasti dan menangkap suspek, yang turut mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Turut dirampas ialah sebuah topi, beg silang, dan sepasang selipar yang dipercayai digunakan semasa kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh bangunan.

Dalam operasi berasingan di lokasi berhampiran, seorang lagi lelaki tempatan berusia 25 tahun ditahan dalam keadaan mencurigakan.

Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine. Suspek kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada serta segera melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan bagi membantu menjaga keselamatan komuniti.

Sumber: Polis Daerah Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal