KOTA KINABALU: TVET bukan sekadar satu pilihan tetapi merupakan pilihan arus perdana dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu membentuk masa depan Sabah. TVET bukan sahaja memberikan kemahiran teknikal, malah memperkasa individu, mewujudkan peluang pekerjaan, dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.
Kerajaan Negeri menyokong sepenuhnya usaha memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan belia Sabah berdaya saing dalam pasaran kerja dan tidak lagi terperangkap dalam kitaran pengangguran.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata demikian dalam ucapannya yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam sempena Simposium TVET Sabah yang berlangsung di Magellan Stuera Harbour, Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Kerajaan Negeri menyedari kepentingan kemahiran teknikal dan vokasional sebagai tunjang kepada pembangunan negeri Sabah yang kaya dengan pelbagai potensi, termasuk sumber asli, sektor minyak dan gas, pertanian, pelancongan, dan pembuatan.
Sabah memerlukan modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang pesat.
TVET dilihat sebagai satu pilihan bijak yang mampu melahirkan profesional, usahawan, dan inovator masa depan. Oleh itu, belia Sabah digesa untuk merebut peluang menyertai bidang TVET kerana kursus yang ditawarkan selari dengan kehendak pasaran kerja semasa, sekali gus menjamin kebolehpasaran graduan.
Menyedari era Revolusi Industri 4.0 dan gelombang pendigitalan, kemahiran dalam bidang teknikal, automasi, dan kecerdasan buatan (AI) dianggap sebagai aset yang amat bernilai.
Ketua Menteri mengingatkan bahawa belia Sabah perlu dilengkapi dengan kemahiran ini agar tidak ketinggalan dalam arus perubahan. TVET dilihat sebagai platform terbaik untuk membina tenaga kerja berkemahiran tinggi yang akan memacu kemajuan Sabah.
Komitmen kerajaan dalam membangunkan modal insan terbukti melalui pelbagai inisiatif dan pelaburan. Usaha-usaha ini telah menunjukkan hasil dengan penurunan kadar pengangguran di Sabah dari kira-kira 8.2 peratus pada 2021 ke 7.5 peratus pada 2023.
Namun, data Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa Sabah masih berdepan cabaran di mana 58.6 peratus dari jumlah penganggur adalah golongan belia berumur 15 hingga 24 tahun, dan 55.8 peratus keseluruhan penganggur hanya memiliki kelayakan pendidikan sehingga peringkat sekolah menengah sahaja. Angka itu menunjukkan ramai belia memerlukan latihan kemahiran dan pendidikan lanjut untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Hajiji berkata, simposium bertemakan ‘TVET Mampan untuk Masa Depan Modal Insan Sabah: Ekosistem TVET Bersepadu’ amat bertepatan dengan keperluan semasa negeri Sabah.
Datuk Ts Dr. Ramzah Dambul, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah merangkap Pengerusi Penganjur Simposium TVET Sabah, mencadangkan agar TVET diperluas kepada skop industri kampung, termasuk pelancongan berasaskan komuniti, yang diyakini mampu meningkatkan ekonomi pengusaha pelancongan luar bandar.
Simposium TVET Sabah 2025 telah berlangsung bermula 9 Julai dan berakhir kelmarin, 10 Julai.