Johor Bahru, 10 Julai 2025 – Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan terhempas di perairan berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor pada pagi ini semasa pelaksanaan latihan keselamatan serantau.
Menurut Ketua Polis Negara, IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid bin Hj. Ismail, pesawat jenis AS355N bernombor pendaftaran 9M-PHG itu terlibat dalam Latihan Amal Pelbagai Agensi sempena Nuclear Security Detection Exercise Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapore 2025 (MITSATOM 2025).
Helikopter tersebut berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada jam 9.51 pagi sebelum insiden dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.25 pagi berhampiran kawasan Jeti Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Gelang Patah.
Pesawat itu membawa lima anggota PDRM yang terdiri daripada dua pegawai kanan dan tiga anggota polis termasuk juruterbang dari Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman serta anggota dari Balai Polis Tanjung Kupang.
Mangsa yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berjaya diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin sebelum dibawa ke Jeti APMM dan seterusnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Sehubungan itu, siasatan menyeluruh akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia, selaras dengan Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.
PDRM turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi penyelamat yang terlibat termasuk APMM dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) atas tindakan pantas serta kerjasama yang diberikan.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan video insiden yang boleh menjejaskan siasatan serta sensitiviti keluarga mangsa. Segala maklumat rasmi hanya akan disalurkan melalui platform rasmi PDRM dari semasa ke semasa.
Sumber, Kenyataan Media PDRM