Beluran, 3 Julai 2025 – Seorang lelaki warga Indonesia berusia 45 tahun ditahan polis selepas didapati memiliki dadah disyaki syabu seberat kira-kira 5.66 gram dalam satu operasi rondaan cegah jenayah di kawasan Ladang Majistic Sdn. Bhd., Entilibon, Tongod.
Ketua Polis Daerah Beluran berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 7.00 malam oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Tongod ketika menjalankan rondaan rutin sebelum terserempak dengan suspek dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.
“Hasil pemeriksaan terhadap beg silang jenama Gregory yang dibawa suspek menemui satu paket plastik lutsinar sederhana besar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu,” katanya.
Suspek yang bekerja sebagai buruh ladang itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk siasatan lanjut. Ujian saringan air kencing ke atasnya turut mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Polis mengingatkan orang ramai bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah merupakan satu kesalahan serius di sisi undang-undang. Kerjasama orang awam amat dialu-alukan dalam usaha membanteras kegiatan ini.
Sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah boleh disalurkan kepada IPD Beluran di talian 089-511222.
Kenyataan Media