Usaha Memperkasa Warisan Budaya dan Kepimpinan Belia KDMR Melalui PAMRKS

Share the news

KOTA KINABALU – Satu lagi lembaran sejarah tercipta apabila Persatuan Alumni Mister Kaamatan Sabah (PAMRKS) dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis penuh simbolik yang telah disempurnakan oleh Naib Presiden Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran Malaysia (MACEOS), YBhg. Dato’ Paduka Rehan Rahim.

Penubuhan PAMRKS merupakan inisiatif berwawasan oleh Bonyvanture Hee, juara Buvazoi Tavantang Kaamatan (BTK) 2024, yang menjadikan penubuhan persatuan ini sebagai sebahagian daripada manifestonya semasa pertandingan tersebut. Beliau menyatakan bahawa penubuhan PAMRKS adalah langkah strategik bagi memastikan kesinambungan dan kelestarian fungsi Mister Kaamatan (MRK) sebagai platform memperkasa budaya dan tradisi masyarakat Kadazan, Dusun, Murut, dan Rungus (KDMR) melalui penyertaan belia, khususnya di Sabah.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan watikah pelantikan kepada barisan jawatankuasa tertinggi pertama PAMRKS. Dr. Velerie Wheelervon Primus dilantik sebagai Penasihat, manakala Bonyvanture Hee sendiri memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi. Turut menyertai barisan kepimpinan ialah Geo Allen George dan Tommy Gedeus sebagai Timbalan Pengerusi, Lexterinus Harris dan Maxelity sebagai Setiausaha dan Timbalan Setiausaha, serta Bruno George Sadiwa sebagai Bendahari. Jawatankuasa turut disertai oleh barisan Exco yang terdiri daripada Isaiah Dicky Jerry, Stefanus Able, Leo Lerry dan Alvin Ajirin.

Bonyvanture menegaskan bahawa penubuhan persatuan ini bukanlah usaha bersifat sementara, sebaliknya lahir daripada komitmen mendalam untuk membina landasan yang kukuh, inklusif dan mencerminkan aspirasi alumni MRK secara kolektif. Beliau turut menyatakan bahawa penubuhan PAMRKS berdepan pelbagai cabaran, antaranya menyatukan individu dari pelbagai latar belakang serta membentuk struktur organisasi yang berfungsi secara efektif. Namun begitu, segala usaha ini dilihat penting demi memastikan matlamat jangka panjang persatuan tercapai.

Beliau turut menjelaskan bahawa PAMRKS tidak ditubuhkan sebagai entiti yang bersaing dengan pertandingan BTK, sebaliknya sebagai pelengkap kepada usaha memperkasakan belia dan memelihara warisan budaya melalui pendekatan yang berterusan. Penghargaan telah diberikan kepada Allen James, pemenang MRK Kota Marudu, yang menjadi alumni pertama tampil memberi sokongan dan tajaan kepada penubuhan PAMRKS.

Pengerusi Penganjur BTK peringkat negeri Sabah, Casey, menyambut baik penubuhan PAMRKS dan menyatakan harapan agar persatuan ini dapat menjadi rakan strategik kepada jawatankuasa BTK, terutamanya dalam melaksanakan aktiviti peringkat daerah. Beliau menyifatkan PAMRKS sebagai sebuah organisasi yang memiliki visi yang jelas dan selari dengan matlamat BTK untuk memperkukuh jati diri belia melalui pemeliharaan budaya dan tradisi tempatan.

PAMRKS meletakkan visi untuk menjadi sebuah organisasi berteraskan kepimpinan yang memperjuangkan budaya dan tradisi KDMR. Selaras dengan visi tersebut, persatuan ini berhasrat untuk memperkukuh peranan para alumni dalam menginspirasikan nilai budaya kepada masyarakat, membina jaringan kerjasama antara ahli dan pelbagai pihak, serta melaksanakan aktiviti sosial, kebajikan, profesional, dan kebudayaan yang memberi manfaat kepada komuniti.

Penubuhan PAMRKS diharap menjadi pemangkin kepada kesinambungan usaha memperkasa belia Sabah dalam mengenali, menghargai dan mempertahankan warisan budaya mereka. Ia juga menjadi platform penting bagi alumni MRK untuk terus menyumbang secara aktif kepada masyarakat, selaras dengan semangat perpaduan dan cinta akan warisan yang menjadi teras budaya KDMR.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal