Pelajar KV Keningau Juara Keseluruhan Greenovate 2025

Sekumpulan pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan Greenovate 2025 dalam kategori reka bentuk regeneratif bagi kumpulan sekolah menengah dengan inovasi makanan mereka yang dinamakan “Serusik”. Pertandingan peringkat antarabangsa secara dalam talian anjuran Asia Pacific Children and Youth Talent Association yang berpusat di Hong Kong itu terbahagi kepada dua kategori utama iaitu reka bentuk artistik dan reka bentuk regeneratif, dan matlamat utamanya adalah untuk menggalakkan rekacipta yang membantu memelihara alam sekitar. Keputusan pertandingan telah diumumkan secara rasmi pada 16 Mei 2025 di laman sesawang penganjur iaitu https://www.apcyta.com/resultgreenovate

Kumpulan ini terdiri daripada lima orang pelajar program Seni Kulinari iaitu dua pelajar tahun dua, Thiery Christian dan Danish Asyraf, serta tiga pelajar tahun akhir yang sedang menjalani latihan industri, Danial Jauhari Sidar, Faiz Asmaan Hamizan dan Iqwan Qhairi Naidu. Mereka telah mencipta serunding yang berasaskan bahan buangan sisik ikan dan ianya telah menerima maklumbalas positif daripada komuniti setempat dimana mereka juga telah berjaya menjual produk tersebut dan meraih keuntungan. Idea ini tercetus apabila mereka menyedari bahawa sisik ikan ialah bahan buangan penyediaan makanan yang sering menjadi isu di ruang dapur kerana bau hanyir yang kuat, halus serta berlendir membuatkan ianya susah untuk dibersihkan daripada lantai, sinki, saluran paip dan longkang. Projek ini merupakan salah satu usaha kolej tersebut untuk menceburi perusahaan sosial dengan mengitar dan menggunakan semula bahan-bahan terbuang untuk dijadikan produk yang boleh dipasarkan.  Projek ini merupakan pemenang pertandingan Reimagine Waste anjuran Catalyst of Change ASEAN beberapa bulan yang lepas.

Pengarah kolej itu, Lumang Anak Lang, mengucapkan tahniah kepada pasukan ini kerana usaha gigih mereka menggunakan kemahiran mereka sebagai pelajar seni kulinari yang mencipta inovasi yang bukan sahaja mempunyai potensi komersial malah mampu membantu menyelesaikan isu alam sekitar. Dia berkata bahawa kejayaan sebegini selaras dengan matlamat pendidikan Kolej Vokasional di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu melahirkan usahawan.

Pautan video penyertaan: https://youtu.be/xv2XP02kEhg?feature=shared

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal