KOTA BELUD: 10 Mei 2025 – Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup mengucapakan tahniah kepada MAFFI Sabah atas kejayaan pelancaran Lembaga Padi dan Beras Sabah hari ini.
Arthur berkata kehadiran pihak Kerajaan Persekutuan di majlis itu merupakan pelengkap untuk menambahkan nilai melalui satu program yang baru, yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri tahun lalu, iaitu Skim Takaful Tanaman Padi sebagai perlindungan tambahan kepada pesawah.

Menurutnya, sebelum ini apabila pesawah terkesan akibat bencana alam, mereka mendapat bantuan dari tabung bencana tanaman padi tetapi agak terhad di antara RM800 hingga RM1,800 sahaja. Tetapi, dengan STTP, setiap pesawah berdaftar layak mendapat pampasan sehingga RM3,000 sehektar bagi bencana alam seperti banjir, kilat, kemarau, ribut petir dan sebagainya. Kalau ada serangan penyakit ataupun makhluk perosak, dia boleh dapat lagi bantuan sehingga RM1,500.
“Kita ada di sini untuk bekerjasama, sebab para pesawah merupakan wira dan juga pejuang bagi sektor agromakanan negara kita,” ujarnya.
Jelasnya, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri tersebut bertujuan memastikan ekosistem berada pada tahap yang terbaik untuk para petani.
LPBS membangunkan kawasan pesawah padi yang baru untuk meningkatkan hasil padi dan beras, dan di samping itu STTP memainkan peranan menjaga kebajikan para pesawah demi memastikan mereka sentiasa sihat.
Arthur berkata, sebagai Menteri Persekutuan, beliau berharap kerjasama itu dapat mewujudkan sinergi. Kerajaan Negeri mempunyai kelebihan dari tanah-tanah, dan mungkin pihak persekutuan dapat membantu dari segi jentera, mekanisasi, kebajikan pesawah dan “transfer of technology”, supaya dapat mewujudkan sinergi yang baik.
“Ini disebabkan matlamat kita adalah sama, meningkatkan hasil padi dan beras, mengurangkan kebergantungan kepada beras import, dan memastikan kita meningkatkan sosio-ekonomi dan kesejahteraan sektor pertanian negara,” katanya.
Merujuk kepada keberadaan Kota Belud, Arthur berkata di bawah Pembinaan Kompleks Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud, SSL padi di seluruh negeri Sabah ialah 22.4%. IADA Kota Belud menyumbang sebanyak 34% kepada SSL yang ada di Sabah.
“Tetapi kita masih ada banyak, iaitu hampir separuh yang belum dibangunkan, dan sekiranya kita dapat membangunkan tambahan 2,000 hektar itu, kita dapat meningkatkan lagi 10% SSL,” katanya.