Bagaimana pasangan suami isteri dari Penampang menangani isu penuaan dan pengganguran luar bandar

WhatsApp Image 2025 03 18 at 10.34.42 AM

PENAMPANG: Sabah memerlukan masyarakat yang befikiran jauh dan inovatif untuk mempelopori pelbagai inisiatif yang mampu membawa kemajuan di negeri ini selaras dengan perubahan yang berlaku di dunia.

Sepasang suami isteri dari Kampung Kolopis telah menyahut cabaran ini dengan memulakan inisiatif untuk menangani dua cabaran sosial – cabaran penuaan (ageing) dan pengangguran luar bandar.

Maria Kinson dan suaminya, Greg King, mengasaskan CarersPlus Asia, sebuah akademi swasta yang melatih anak muda Sabah, terutamanya mereka dari kawasan luar bandar yang terpinggir, untuk menjadi penjaga komuniti bertauliah (community carers).

Mereka faham bahawa sektor penjagaan bukan sahaja memberi peluang kerjaya kepada belia luar bandar tetapi juga memenuhi keperluan golongan orang tua atau yang sakit.

Menurut Greg, golongan orang tua atau dikenali sebagai generasi berambut perak mungkin melebihi jumlah remaja dalam tempoh 5 tahun sahaja di negara ini.

“Kami menyedari bahawa Malaysia menjadi negara yang semakin tua menjelang 2030.

Akan ada lebih ramai orang yang berumur lebih 60 tahun daripada jumlah mereka yang berumur di bawah 15 tahun.

“Selain itu, orang ramai hidup lebih lama. Jadi, di tahun-tahun terakhir kehidupan mereka, tahun-tahun keemasan, mereka mengalami semua pelbagai masalah kesihatan.

“Kita perlu mencari cara untuk melibatkan masyarakat untuk mengatasi cabaran ini,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa tidak seperti di negara lain di mana warga emas sering ditempatkan di rumah penjagaan atau, di beberapa tempat termasuk asrama, Carerplus Asia menawarkan pilihan kepada mereka untuk kekal dan diberi penjagaan di rumah.

Bagaimanapun, cabarannya adalah untuk mencari ahli dalam keluarga untuk tinggal di rumah untuk menjaga mereka. Dan kebanyakan ahli keluarga kita masing-masing sibuk dengan kerja dan hal peribadi lain, katanya.

“Cabarannya amat meruncing di Sabah, di mana isu pembandaran dan perubahan struktur keluarga menghakis sistem sokongan tradisional.

Tanpa campur tangan, keperluan golongan penjagaan orang tua dan sakit di Sabah semakin meningkat, dan juga menjadi semakin kompleks serta sukar untuk ditangani.

“Ia akan mengakibatkan beban penjagaan yang tidak mampan kepada ahli keluarga yang tidak terlatih. Jadi, apa yang kami lakukan di sini ialah kami membangunkan sumber dan kemahiran dalam komuniti supaya penjaga mahir boleh datang ke rumah mereka dan menjaga mereka.”

Menurut King, ini mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya kepada belia luar bandar, yang apabila dilatih dengan betul, akan mengisi jurang ini dan pada masa yang sama membantu mengurangkan jurang pendapatan antara penduduk luar bandar dan bandar di Sabah.

Pendekatan CarersPlus menyediakan penyelesaian unik di mana setiap penjaga yang dilatih menyokong warga emas yang semakin tua di rumah tetapi juga menjadi kuasa untuk perubahan positif dalam keluarga dan komuniti mereka.

Akademi itu kini mempunyai kumpulan pelajar pertama seramai 20 orang yang mengikuti program selama 12 bulan sejak Jan tahun ini.

Maria, seorang bekas jururawat Sabah yang terlatih, berkata mereka dilatih dalam piawaian penjagaan yang betul dan akan dibekalkan dengan pensijilan yang diiktiraf kebangsaan dan antarabangsa.

Pelajar tersebut berasal dari beberapa kawasan luar bandar yang terpinggir di daerah-daerah seperti Keningau, Kota Marudu dan Lahad Datu.

“Itulah sebabnya kami sangat teruja bahawa mereka memilih untuk datang ke akademi dan kami berharap melalui kerjaya dalam penjagaan, mereka akan dapat mengubah kehidupan mereka dan keluarga mereka,” kata Maria, yang menghabiskan kira-kira 5 tahun membangunkan manual latihan dan sukatan pelajaran untuk kursus mereka.

Pasangan itu percaya bahawa beberapa pelajar mereka, berbekalkan kelayakan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, akan mendapat peluang untuk bekerja di luar negara di mana permintaan untuk penjaga adalah tinggi.

Akademi ini mempunyai senarai menunggu golongan muda, termasuk lelaki, yang telah menyatakan minat untuk mengikuti kursus tersebut.

Maria berkata walaupun akademi mempunyai sumber yang terhad, mereka akan mencari jalan untuk membantu mereka memenuhi impian mereka untuk menjadi seorang penjaga yang bertauliah.

Carersplus Asia, bagaimanapun, hanyalah sebahagian daripada visi Maria dan Greg yang jauh lebih besar untuk masyarakat.

Cita-cita mereka adalah untuk mewujudkan ekosistem yang mampu menyokong penduduk yang semakin tua dengan cara yang boleh membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih selesa dan penuh keyakinan dengan diri mereka sendiri.

Greg, yang mempunyai latar belakang dalam bidang teknologi dan pernah bekerja di pelbagai sektor di beberapa negara, berkata Carersplus Asia juga sedang membangunkan strategi untuk mewujudkan infrastruktur dan perkhidmatan ke arah matlamat ini.

Kedua-dua pengasas percaya model mereka adalah jalan ke hadapan bagi masyarakat yang akan terus menghadapi cabaran dengan isu berkaitan penuaan dan pengangguran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan pernah menyatakan bahawa Sabah perlu mengikis sikap “business as usual” dan sebaliknya sentiasa mengutamakan untuk menjadi luar biasa (extraordinary) di dalam apa jua.

Beliau menyedari bahawa banyak cabaran yang dihadapi dunia adalah amat luar biasa dan oleh yang demikian, ini memelukan tindakan dan fikiran luar biasa daripada masyarakat untuk menyahut setiap bentuk cabaran tersebut.

Usaha Maria dan Greg untuk mencari jalan penyelesaian kepada isu penuaan dan pengagguran penduduk luar bandar sekaligus mempelopori perubahan sosial adalah amat luar biasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal