Monday, December 23, 2024

Industri pelancongan Sabah akan terus diperkasa: Hajiji

KOTA KINABALU: Sektor pelancongan akan dapat dipulih dan diperkasakan dengan adanya peruntukan berjumlah RM134.59 juta yang akan disalurkan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar pada tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, sektor pelancongan Sabah terjejas teruk akibat Pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu dan pelbagai usaha dilakukan untuk berhadapan dengan cabaran ini.

“Peruntukan itu akan memastikan pembangunan industri pelancongan berkembang seterusnya meningkat dalam pasca pandemik,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Persidangan Pelancongan Dunia 2022 di sini, pada Isnin.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Katanya, peruntukan itu termasuklah menaik taraf kemudahan pelancongan dan pembangunan modal insan untuk pelancongan berasaskan komuniti.

“Saya juga mengumumkan Biro Konvensyen Sabah (SCB) diwujudkan dan beroperasi sepenuhnya tahun hadapan. SCB akan mempercepatkan perkembangan industri pelancongan berasaskan program perniagaan bagi menjadikan Sabah sebagai destinasi mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran.

“Kesemua ini akan menjana pelbagai aktiviti ekonomi sekali gus memberi manfaat kepada sektor perhotelan, pengangkutan, penerbangan serta berkaitan,” katanya

Sejak pembukaan sempadan negara pada 1 April 2022, Malaysia dan Sabah khususnya tidak pernah berhenti untuk mempercepatkan pembangunan terutamanya dalam sektor pelancongan.

“Saya gembira para peserta dalam persidangan ini akan bersama-sama menwujudkan strategi untuk memulihkan sektor pelancongan.

Hajiji juga gembira usaha memperkasakan komuniti tempatan menerusi program pelancongan berasaskan komuniti luar bandar membuahkan hasil. Ia terus menguatkan sektor pelancongan dan berkembang mampan di seluruh negeri.

Katanya, program berkenaan menyediakan peluang kepada kerajaan untuk memperkasakan produk pelancongan berkenaan.

“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan tawaran produk pelancongan di Sabah tetapi turut meningkatkan taraf kehidupan masyarakat setempat,” katanya.

Katanya, lebih 100 pengusaha membangunkan perniagaan masing-masing sejak projek perintis pelancongan berasaskan komuniti dilaksanakan di Kadamaian, Kota Belud dan Kiulu pada 2014.

“Kita juga berbangga kerana Koperasi Eko-Pelancongan Masyarakat Batu Puteh dan Inap desa Walai di Sandakan baru-baru ini dipilih sebagai salah satu pemenang di UNWTO’s inaugural Best Tourism Villages award (2021),” katanya.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights