Tuesday, December 24, 2024

Remaja Sabah teruja, seronok mengundi buat pertama kali dalam pilihan raya

Christie Amanda, Ethel Jude & Eric Alexander

Percy Goliu

PENAMPANG: Teruja, seronok dan gelisah adalah perasaan yang tepat menggambarkan pengalaman beberapa remaja berusia 18 tahun yang ditemui ketika membuang undi buat pertama kali dalam pilihan raya umum negara pada Sabtu.

Mereka bukan sahaja menantikan pengalaman untuk mengundi malah mereka mengaku sudah membuat persiapan mengenai bagaimana proses mengundi berjalan dan siapa calon yang mahu dipilih.

Ethel Jude Logijin baru berusia 18 tahun dan belajar di Tingkatan Enam berkata, dia teruja melaksanakan kewajiban mengundi kerana setuju dengan arahan kerajaan untuk memberi persediaan awal kepada golongan muda untuk sedar dalam dunia politik.

“Saya mahu sahut saranan kerajaan dan mahu membantu menyumbangkan undi kepada calon yang saya sokong,” katanya ditemui ketika menunggu giliran mengundi di sebuah sekolah di Penampang.

Remaja dari Kolopis ini berkata, inisiatif kerajaan mengurangkan had umur mengundi kepada 18 tahun memberinya peluang lebih awal untuk belajar mengenai proses pengundian, politik dan calon-calon yang bertanding.

Christie Amanda Malanjun, 19, pula memberitahu dia agak resah apabila berbaris mengundi buat pertama kali bersama ratusan pengundi lebih tua kerana bimbang membuat kesilapan.

Namun katanya, sebelum ini ibu bapanya memberikan taklimat mengenai proses mengundi dan siapa yang bakal dipilih.

Dia juga sentiasa berbincang dengan rakan seumur mengenai apa yang dijangka.

“Kami juga mencari maklumat di media sosial. Sebenarnya tidak susahpun mengundi. Banyak maklumat boleh dilayari termasuk calon mana yang lebih baik,” katanya yang masih menuntut di sebuah sekolah menengah di Kota Kinabalu.

Bagi Eric Alexander, 18, dari Kampung Sugud dia berasa agak takut dan gelisah kerana tidak pasti apa yang mahu dilakukan apabila berada di bilik mengundi.

Tapi dia yakin petugas di dalam akan membantunya seperti apa yang ditulis dalam risalah mengenai peraturan ketika berada dalam bilik.

“Saya datang mengundi sebab saya layak dan sebab saya mahu ikut seruan kerajaan untuk memilih calon yang boleh membantu kami jika kami ada masalah,” katanya.

Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia remaja berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dalam pilihan raya umum ke-15.

Seramai 485,939 orang daripada 5.7 juta pemilih baharu berumur 18 tahun yang didaftarkan dari seluruh negara adalah rakyat Sabah.

Awal bulan ini Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata jumlah itu berdasarkan statistic Daftar Pemilih Tambahan (DPT) pertama yang diwartakan pada 14 Januari lalu.

Katanya, pertambahan itu menjadikan jumlah pemilih berdaftar di Sabah meningkat kepada 1,670,354 orang berbanding 1,184,415 orang sebelum ini.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights