Tuesday, December 24, 2024

Kembalikan maruah Sabah hari ini

HARI ini adalah Sabtu, 19 November 2022.

Hari ini seramai 1,184,415 orang Sabah akan membuang undi di 25 kerusi parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri di Bugaya. Hari ini dipilih untuk kita mendapatkan semula maruah Sabah selepas berdekad lamanya kita dilayan bagaikan orang yang ‘melukut di tepi gantang’.

Setiap kali pilihan raya umum diadakan, kita mengharapkan ini kali terakhir Sabah diabai atau tidak lagi dianak tirikan. Namun setiap kali juga kita ‘dijek-jek’ bilang orang Sabah yang bermaksud Malaya mengampu dan mengipas-ngipas kita dengan janji-janji manis mereka kerana mahukan undi kita.

Hari ini kita sekali lagi diarah untuk membawa IC atau lesen memandu ke pusat pengundian sebagai bukti kita adalah orang asal negeri ini. Begitu ironisnya apabila kita bercakap pasal IC sebab bagi orang Sabah IC adalah dokumen yang membuatkan sesetengah orang menjadi kaya duit atau kaya kuasa.

Tepat jam 12 tengah malam tadi semua jentera dan krew pilihan raya menghentikan semua operasi selepas dua minggu berkempen, iaitu tempoh mereka diberi lesen untuk memuji dan memburukkan lawan.

Calon Parti Warisan bagi kerusi Parlimen Penampang Datuk Darell Leiking menutup tirai kempennya di Bandar Donggongon dengan ratusan orang datang memberikan sokongan pada malam Jumaat.

Sehari sebelum itu, Calon GRS Kenny Chua berkempen di tempat yang sama dengan jumlah penyokong yang sama datang mendengar kali terakhir ‘janji dan gula-gula’ yang ditawarkan. Pengundi semakin pintar menilai dan berhujah. Sepintar 125 calon yang ‘beria-ia’ mahu menang kerusi untuk sampai ke Putrajaya.

Daripada 125 calon pelbagai parti di Sabah itu, hanya 25 campur satu di Labuan akan menjadi Yang Berhormat apabila nama mereka diumumkan sebagai pemenang pada malam ini.

Yang lain akan kembali ke kehidupan asal mereka dua minggu yang lalu sebelum menjadi calon, mungkin bangga dada penuh dengan pengalaman walaupun ada yang ‘kampis barait.’ Selebihnya mungkin hilang deposit dan menyesal ikut bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberitahu bahawa pilihan raya umum kali ini menyaksikan peningkatan calon yang layak bertanding. Di Sabah, calon juga meningkat seramai 24 calon berbanding dalam pilihan raya umum ke-14 pada 2018.

Gilbert Donny yang duduk di kedai kopi Donggongon berseloroh sambil berkata dengan nada mengejek, ramai ahli politik ‘wannabe’ Sabah semakin tamak untuk merasa durian runtuh sebagai YB. Mereka menjadi calon tanpa memahami apa sebenarnya tugas seorang ahli politik.

“Ini hanya menunjukkan bahawa walaupun dibenarkan dalam demokrasi, natijahnya adalah perpecahan tidak dapat dielak di kalangan rakyat Sabah yang terpaksa memilih satu daripada belasan parti yang bertanding.”

Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) Tan Sri T C Goh mengulas mengenai peningkatan calon kali ini berkata, kemungkinan berlaku perpecahan undi di kebanyakan kerusi walaupun yakin tumpuan utama pengundi adalah parti politik dan calon yang benar-benar mampu berkhidmat.

“Beginilah cara demokrasi berfungsi, iaitu membenarkan rakyat mengundi dalam pilihan raya untuk memilih kerajaan baharu untuk mentadbir negara,” katanya. Malaysia ada 222 kawasan parlimen dan seramai 945 calon bertanding kali ini.

Selepas dua minggu bersusah payah membanting tulang untuk memastikan calon kesayangan menang, maka rakyat marhaen pun digesa keluar beramai-ramai dengan kerajaan menggunakan bait perlembagaan bahawa undi itu adalah rahsia dan hak mulia yang mesti dilakukan.

Hari ini nanti kita akan saksikan orang sakit atau orang tua dipuji kerana melaksanakan tanggungjawab mereka dengan membuang undi. Mereka akan ditolak masuk bilik mengundi yang siap ada jurugambar dan pemberita untuk memasukkan kisah mereka dalam surat khabar.

PRU15 kali ini sedikit unik kerana pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, menjarakkan satu meter di antara satu sama lain, membawa sanitiser serta beg plastik dan getah pengikat yang digunakan untuk meletakkan telefon bimbit ke dalam kotak yang disediakan. Virus corona masih belum hilang dan telefon bimbit tidak dibenarkan masuk bilik pengundian.

Peraturan SPR yang ditularkan di media sosial juga menasihatkan pengundi untuk tidak lepak di kawasan pengundian selepas membuang undi tetapi diminta pulang dan terus mandi.

Esoknya hari Ahad, kita bangun dengan pelbagai perasaan. Perasaan yang sudah biasa bertandang dalam sanubari selepas pilihan raya diadakan. Gembira, kecewa, sedih, marah, rasa tertipu dan banyak lagi.
Semuanya adalah perasaan yang timbul sekali dalam lima tahun.

Nasihat saya pada hari Sabtu ini adalah ‘move on.’Jangan terlalu mengharap ada perubahan berlaku sekelip mata. Hidup anda termasuk saya dan majoriti penduduk Sabah masih bermaruah dan kita kekalkan nilai itu untuk menjaga di antara satu sama lain.

Jangan pandang rendah resipi ‘kita jaga kita’ sebab ia mampu menghindarkan kita daripada kekecewaan, tekanan mental dan mangsa keadaan.
Amalkan resipi ini dalam keluarga kita terlebih dahulu sebab keluarga jarang mengecewakan.

– TV Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights