Tamparuli ada keindahan tersendiri untuk dimajukan
Mohd Syukrie Johary
TAMPARULI: Daerah Tamparuli berpotensi dibangunkan sebagai kawasan pelancongan dan dalam masa lima tahun akan datang, pasti ramai pelawat tempatan dan luar datang di sini.
Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, Tamparuli mempunyai ciri-ciri yang sesuai seperti memiliki keindahan semulajadi sebagai pusat pelancongan.
“Daerah ini juga ada pasar tamu Rabu, jambatan Tamparuli yang menjadi lagenda, Bukit Perahu Ruhiang, hutan dan sungai yang boleh dilawati.
“Tamparuli cukup indah serta berpotensi besar dibangunkan sebagai kawasan pelancongan. Cuma kelebihan itu memerlukan penambahbaikan,” katanya di perjumpaan dengan masyarakat Cina Tamparuli, malam Jumaat.
Kata Joniston, jika dia menang kerusi Parlimen Tuaran dia akan usahakan Tamparuli sehingga berjaya seperti dilakukan di Kiulu. Kiulu terkenal dengan banyak tarikan pelawat seperti sungai dan hutannya.
Beliau meminta semua kaum termasuk masyarakat Cina di Tamparuli untuk sama-sama menyertai projek pembangunan yang dilaksanakan.
Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berkata, demi menzahirkan hasrat menjadikan daerah ini kawasan pelancongan, kemudahan asas seperti lampu jalan yang tidak marak dan parit tersumbat perlu diperbaiki.
Katanya, wakil rakyat perlu kerap melawat kawasan diwakilinya untuk mengetahui masalah penduduk dari semasa ke semasa tanpa perlu menunggu musim pilihan raya berbuat demikian.
– TV Sabah News
0 Comments