Golongan muda tentukan hala tuju dalam PRU
Mohd Syukrie Johary
TUARAN: Pengundi muda sependapat bahawa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kali ini bakal menjadi gelombang kebangkitan anak muda dalam menentukan hala tuju negara.
Ini kerana mereka sudah mengalami kesusahan akibat pergolakan politik dan ekonomi negara yang tidak baik berikutan peningkatan harga barangan dan pelbagai masalah yang lain.
Pengundi muda, Pengiran Azhar Azlan 22, berkata mereka sudah melihat pemimpin tertinggi negara didapati bersalah dan didakwa atas kesalahan rasuah. Beberapa pemimpin lain juga dalam proses untuk dibicarakan di mahkamah.
“Kami sebagai pengundi muda di daerah ini mahukan perubahan kepimpinan negara yang lebih prihatian membantu kami memastikan kehidupan lebih terjaminan masa akan datang.
“Kami juga mahu negara ini dipulihkan daripada pelbagai kemelut termasuk amalan salah guna kuasa dan korupsi dalam kalangan pemimpin.
“Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini amat penting untuk menyelamatkan negara daripada rasuah, ekonomi merunum dan politik tidak stabil,” katanya.
Bagi Arief Hambali, 29, ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan, indeks ekonomi negara menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan di peringkat antarabangsa.
“Di era pemerintahan Barisan Nasional (BN) lalu, semua itu berada pada tahap yang lebih baik,” katanya.
Mohd Hazree Yong, 26, pula mahukan negara ini mempunyai pemimpin yang berwibawa untuk memulihkan ekonomi akibat krisis kewangan yang melanda.
“Inflasi dan kenaikan harga barang sangat membebankan terutama bagi golongan muda seperti kami yang baru mula hidup secara berdikari,” katanya.
– Tv Sabah News
0 Comments