PRU15: GRS umum 13 calon, BN 11
KOTA KINABALU: Seramai 13 calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan 12 calon Barisan Nasional (BN) akan bertanding berebut 25 kerusi parlimen Sabah dalam pilihan raya umum ke-15 yang akan diadakan pada 19 November ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan nama-nama calon parti mereka di Magellan Sutera Harbour petang Rabu.
Mereka memberitahu bahawa tiada pertembungan calon berlaku antara dua rakan kerjasama yang mentadbir kerajaan Sabah itu.
Calon kerusi Parlimen Beluran yang disandang Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan bagaimanapun belum diumumkan.
Bung Moktar mengumumkan Mohd Ibno akan bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya yang diadakan serentak dengan PRU15.
Pengumuman hari ini menyaksikan beberapa penyandang akan mempertahankan kerusi mereka.
Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) akan mempertahankan kerusi Parlimen Kota Marudu.
Begitu juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mempertahankan kerusinya di Keningau. Timbalan Menteri Dalam Negeri Kedua Datuk Jonathan Yasin daripada Bersatu juga mempertahan Parlimen Ranau.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri turut mempertahankan Parlimen Kinabatangan manakala Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan kembali bertanding di Kota Belud yang dipegangnya selama dua penggal sebelum bertanding dan tewas di Sepanggar pada PRU14.
Dua Timbalan Menteri mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing iaitu Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya di Pensiangan manakala Timbalan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Mohamad Alamin daripada UMNO di Kimanis.
Pengumuman Bung Moktar itu juga menyaksikan 10 calon BN adalah daripada UMNO, manakala satu calon daripada PBRS.
GRS diwakili Bersatu (enam calon), PBS (4), STAR (2), SAPP (1) manakala Timbalan Menteri Kewangan Kedua Datuk Yamani Hafez Musa dari Bersatu tidak mempertahankan kerusi Parlimen Sipitang.
GRS dianggotai Bersatu, PBS, STAR, SAPP dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) menjalin kerjasama bersama BN dianggotai UMNO, MCA, MIC dan PBRS bagi mentadbir kerajaan Sabah.
Berikut adalah senarai calon GRS: Dato’ Sri Ruddy Awah (Kudat), Datuk Seri Dr Maximus (Kota Marudu), Datuk Joniston Bangkuai (Tuaran), Yee Tsai Yew (Kota Kinabalu), Kenny Chua (Penampang), Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Jonathan Yassin (Ranau), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (Keningau), Khairul Firdaus Akbar khan (Batu Sapi), Thomas Lau (Sandakan), Nixon Abdul Habi (Semporna) dan Lo Su Fui (Tawau).
Calon BN ialah: Bung Moktar (Kinabatangan), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (Kota Belud) Datuk Ir Shahelmey Yahya (Putatan), Hajah Aminah Ansing (Beaufort), Jamawi Jaafar (Tenom), Arthur Kurup (Pensiangan), Suhaimi Nasir (Libaran), Mohamad Alamin (Kimanis), Maizatul Akmal Alwi (Lahad Datu, Aslan Fadli Samsul Alang (Silam), Haji Abdul Aziz Mohd Ibno (Bugaya) dan Datuk Yakub Khan (Sepanggar).
– BERNAMA
0 Comments