Friday, April 11, 2025

PH yakin dapat pertahan kubu kuat di Sabah

Anwar ketika berucap pada majlis itu.

Nilam Raon
TAWAU: Pakatan Harapan (PH) yakin ia mampu mempertahankan enam kerusi yang menjadi kubu kuatnya di Sabah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hasil tinjauan parti itu menunjukkan berlaku peningkatan keupayaan dan rakyat melihat PH sebagai alternatif untuk membawa Sabah di landasan tepat, jelasnya.

“Pilihan rakyat kini mula cenderung ke arah parti alternatif selepas merasakan era pemerintahan parti yang berbeza namun tidak membawa perubahan yang besar.

“Rasuah sama juga, dasar sama juga cuma bezanya menterinya ramai, penasihatnya ramai, penasihat Perdana Menteri dan duta-duta khasnya ramai.

“Tidak banyak kesan positif dirasai rakyat yang mahukan pengangguran dikurangkan, peluang pekerjaan ditambah, menjana pertumbuhan ekonomi, kos, mutu pendidikan, kemudahan asas dan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di majlis Jelajah Presiden Harapan Sabah Zon Tawau di Dewan Calvary Crown di sini Ahad.

Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, PH akan bertanding semua kerusi di Sabah dengan senarai calon akhir akan diumum pada 28 Oktober ini.

“Untuk PH semua kerusi akan ditandingi. Bagi PKR kita akan umumkan nanti, kita melihat beberapa kawasan masih perlu dipantau keupayaannya sebagai persediaan strategi PRU15 nanti,” tambah beliau.

Dalam PRU14, PH melalui PKR menawan tiga kerusi iaitu Parlimen Putatan, Ranau dan Tawau manakala melalui DAP ia mendapatkan tiga kerusi Kota Kinabalu, Tenom dan Sandakan.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights