Banjir: Dr Jeffrey janji bantu penduduk Kg Kolopis
PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan mencadangkan penubuhan jawatankuasa penyelaras bagi membantu masyarakat menyuarakan masalah berkaitan projek pembangunan yang memberi impak terhadap kehidupan mereka.
Jawatankuasa yang dicadangkan itu akan disertai jabatan dan agensi kerajaan berkaitan serta kontraktor projek.
Kitingan berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua masyarakat Kg Kolopis di sini, hari ini yang meminta bantuannya menyelesaikan masalah banjir yang semakin teruk di kampung mereka.
Kawasan tanah rendah Kg Kolopis memang tidak asing lagi dengan masalah banjir tetapi penduduk kampung berkata, masalah itu bertambah teruk sejak projek Lebuhraya Pan Borneo memulakan pembikinan jalan raya yang merentasi kampung mereka.
“Saya akan bawa perkara ini kepada kabinet supaya ada perbincangan. Saya cadangkan perlu ada jawatankuasa penyelaras projek Lebuhraya Pan Borneo di tempat ia melalui kawasan kampung. Saya boleh rasa kekecewaan penduduk di Kg Kolopis,” katanya.
Beliau juga berkata, akan membantu mereka dengan berkomunikasi dengan Jabatan Kerja Raya dan kontraktor projek berkenaan.
“Kami mahu membantu mereka dengan menulis surat kepada agensi bertanggungjawab (JKR) dan kontraktor,” katanya memberi jaminan.
Beliau bagaimanapun mengakui tiada jalan pintas untuk mengurangkan banjir di daerah itu yang memerlukan sumber dan masa yang besar.
Beliau memberi jaminan yang Kerajaan Persekutuan sudah bersetuju memberikan peruntukan luar bajet bagi pakej dua dan empat berjumlah RM408 juta pada tahun depan.
Beliau juga mengakui bahawa masalah banjir di Sabah diburukkan lagi dengan perubahan dan peningkatan air laut akibat perubahan iklim.
Sementara itu, jurucakap ketua masyarakat Kg Kolopis Dato Seri Dr Adalbert Kinson berkata, mereka berpuas hati dengan cadangan dan campur tangan Dr Jeffrey selepas mendengar hujah mereka.
“Untuk masa yang lama, kami tidak tahu mengadu kepada siapa. Kami telah cuba menghubungi JKR tetapi setakat ini tiada tindakan diambil di pihak mereka. Jadi, apabila Datuk Seri Dr Jeffrey memberi jaminan kepada kami bahawa beliau akan berkomunikasi dengan pihak berkenaan, pada saya, ia adalah tindakan yang kami harapkan,” katanya.
Dr Adalbert berkata, mereka menghargai Jeffrey yang pernah datang ke kampung untuk melihat sendiri bagaimana kehidupan mereka yang terkesan dengan keadaan banjir yang semakin teruk, terutama sejak projek itu diadakan di sana.
Katanya, tujuan pertemuan dengan Dr Jeffrey adalah untuk mengetengahkan masalah banjir yang semakin teruk dan juga untuk memasukkan cadangan mereka mengenai cara meminimumkan kesannya dalam pelan tebatan banjir kerajaan.
Beliau berkata, sejak projek lebuh raya itu dimulakan, banjir mengambil masa berhari-hari untuk surut tidak seperti sebelum ini yang hanya mengambil masa beberapa jam.
Pertemuan di antara komuniti itu dan Kitingan turut disertai oleh penyelaras parlimen Parti Solidariti Tanahairku (STAR SABAH) Penampang Kenny Chua, timbalan pengarah JPS Sabah Siraja Bashora dan Irene Chu dari JPS Penampang.
– Tv Sabah News
0 Comments