Oleh: Nurul.N
KENINGAU: Pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau, Renoddry Remey, memecahkan tiga rekod kebangsaan pada Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas (KOPK) Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-24 di Kuantan, Pahang.
Atlet berkeperluan khas itu muncul juara dalam ketiga-tiga acara disertainya pada kejohanan yang berlangsung dari 22 hingga 26 November lalu. Dia mencatat rekod baharu kebangsaan dalam acara 200 meter (22.17s), 400 meter (49.72s) dan 4 x 100 meter (43.48s).
Kejayaan itu menambah koleksi Renoddry yang sebelum ini muncul juara 400 meter pada Para SUKMA di Selangor, September lalu, dengan masa peribadi terpantas 49.48s.
Dia turut meraih emas dalam acara sama pada Sukan Kolej Vokasional (SUKOV) kebangsaan di Kelantan, Ogos lalu. Dia juga mengungguli beberapa acara pecut individu dan berganti-ganti di peringkat negeri dan daerah.
Pelajar Tingkatan Lima Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) jurusan Pembuatan Perabot itu dinobatkan Olahraga Terbaik SUKOV Kebangsaan tahun ini.

Anak jati Kampung Kalampun ini juga menerima Anugerah Pelajar Terbaik Program Pendidikan Khas KV Keningau atas pencapaian akademik dan sahsiah.
Pengarah KV Keningau, Dr Shamsir Nureddin, berkata pencapaian itu membuktikan pelajar berkeperluan khas berpotensi besar jika diberi peluang, sokongan dan bimbingan.
“Setiap pelajar mempunyai keistimewaan dan potensi tersendiri. Apa yang penting ialah peluang, sokongan dan bimbingan berterusan untuk membantu mereka mencapai kemampuan terbaik,” katanya.
Dr Shamsir merakamkan penghargaan kepada guru dan kakitangan PPKI yang komited membimbing pelajar sehingga mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan.
KV Keningau antara institusi yang menyediakan pendidikan vokasional kepada pelajar berkeperluan khas, termasuk mereka yang mempunyai masalah pendengaran dan neurodivergen.
