Oleh David E.
KOTA KINABALU: Rakyat di pantai timur Sabah diminta bersabar sementara usaha memulihkan bekalan elektrik giat dijalankan susulan menara penghantaran elektrik T313 tumbang di Sungai Liwagu, Kampung Sagindai, Jalan Ranau-Telupid, semalam.
Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah memantau rapi perkembangan pemulihan itu.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, berkata Sabah Electricity (SE) memaklumkan kejadian itu berpunca dari hakisan tapak asas menara akibat hujan berterusan dan arus deras banjir yang menghanyutkan asas kaki menara, menyebabkan struktur itu tumbang.
Menurut beliau, SE kini bertungkus-lumus sepanjang 24 jam membina menara penghantaran sementara menggunakan kaedah Emergency Restoration System (ERS) supaya bekalan elektrik dapat dipulihkan secepat mungkin.
“Pihak SE juga sentiasa menyalurkan maklumat terkini kepada saya mengenai perkembangan kerja pemulihan itu dari semasa ke semasa,” katanya.
SE menyasarkan tempoh enam hari untuk memulihkan bekalan elektrik sepenuhnya, manakala usaha pemulihan berperingkat sedang giat dilaksanakan.
“Saya memahami kesulitan yang dihadapi rakyat, khususnya melibatkan kehidupan seharian, kegiatan ekonomi, perniagaan dan perkhidmatan awam susulan gangguan bekalan elektrik ini.
“Kita meminta semua penduduk terlibat di lapan daerah iaitu Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Kinabatangan, Beluran dan Telupid agar terus bersabar sementara usaha pemulihan dilaksanakan,” katanya.
Joachim, ADUN Kundasang, turut merakamkan penghargaan kepada petugas Sabah Electricity yang bekerja siang dan malam dalam keadaan mencabar demi memastikan bekalan elektrik dapat dipulihkan segera tanpa mengabaikan aspek keselamatan.
Beliau menambah, kementerian akan terus memantau perkembangan itu bersama pihak SE. “Kepentingan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kita,” katanya.
– TV Sabah
