Suka Suka FC lancar jersi rasmi, satukan peminat bola sepak

IMG 4429

Oleh: Nurul.N

KOTA KINABALU: Semangat “bola sepak menyatukan” terserlah menerusi penganjuran Grand Matchday 2026 dan pelancaran jersi rasmi Suka Suka Football Club (Suka Suka FC) di Stadium UMS pada 21 November lalu.

Acara itu menyaksikan penyertaan tiga pasukan iaitu Artis Kinabalu FC, Digital UMS x AWS dan Suka Suka FC. Ia bukan sekadar medan aksi di atas padang, malah platform mengeratkan persahabatan, membina semangat berpasukan dan menyemarakkan budaya sukan dalam komuniti.

Lebih menarik, acara itu turut menyaksikan pelancaran jersi rasmi Suka Suka FC yang menjadi lambang identiti dan kebanggaan komuniti bola sepak terbabit.

Ditubuhkan pada 22 April 2026 dan berpusat di Kota Kinabalu, Suka Suka FC membawa konsep istimewa iaitu bola sepak untuk semua.

Berteraskan prinsip FUN, RESPECT AND ENJOY, kelab itu percaya setiap individu berhak menikmati bola sepak tanpa mengira tahap kemahiran, pengalaman atau latar belakang.

Presiden kelab menegaskan, walau sejauh mana komuniti itu berkembang, semangat kekeluargaan dan kebersamaan akan sentiasa menjadi asas perjuangan Suka Suka FC.

“Walau sebesar mana pun komuniti ini berkembang, kami mahu setiap ahli terus merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada komuniti ini. Suka Suka FC bukan sekadar tentang bola sepak, tetapi juga tentang persahabatan, kekeluargaan dan komuniti.”

Menerusi kerjasama Jabatan Digital UMS dan sokongan wakil penaja jersi rasmi Suka Suka FC iaitu My Path Sdn Bhd, MRB Apparel dan Rafik Toyota Sabah, penganjuran itu membuktikan bola sepak mempunyai kuasa menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.

“Kerana dalam bola sepak, bukan semua orang perlu menjadi pemain profesional untuk merasai keseronokannya. Yang penting, turun padang, nikmati permainan dan raikan persahabatan.”

SUKA SUKA FC – PLAY TOGETHER, GROW TOGETHER!

Sumber: Suka Suka FC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal