Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
KOTA KINABALU: Sebanyak RM254 juta disalurkan menerusi pelbagai inisiatif bantuan pendidikan dalam tempoh lima tahun, memanfaatkan lebih 418,000 pelajar sekolah termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Sabah.
Peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) meningkat hampir tiga kali ganda, dari RM55 juta pada 2021 ke RM161 juta tahun ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, berkata komitmen Kerajaan Negeri itu memastikan setiap anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang keluarga, kedudukan kewangan atau tempat tinggal.
“Tiada anak Sabah seharusnya tercicir dalam pendidikan berkualiti hanya disebabkan kekangan kewangan, latar belakang keluarga atau tempat tinggal,” katanya.

Hajiji turut memaklumkan 14 inisiatif bantuan pendidikan kini dilaksanakan untuk memperluas peluang pendidikan kepada anak-anak Sabah.
Usaha itu akan terus diperkukuh menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 sebagai pelaburan untuk masa depan Sabah, termasuk generasi akan datang.
