Oleh David E.
KOTA KINABALU: Kedudukan sebenar kerajaan Sabah dalam cabaran terhadap Akta Laut Wilayah 2012 dan Akta Pelantar Benua menjadi tumpuan prosiding Mahkamah Tinggi. Cabaran itu membabitkan hak wilayah dan sumber petroleum negeri.
Ketua Penerangan STARSABAH, Anuar Ghani Gilong, hadir ke Mahkamah Tinggi untuk mengikuti prosiding dan memberi sokongan kepada pasukan peguam SABAR yang diketuai Roland Cheng.
Menurut Anuar, kerajaan Sabah sebelum ini memohon menyertai prosiding sebagai pihak pencelah. Permohonan itu dibuat selepas permohonan untuk diterima sebagai Amicus Curiae atau sahabat mahkamah berkecuali ditolak.
Beliau berkata dalam pendengaran hari ini, hakim meminta Peguam Besar Negeri, Datuk Brendon Soh, menjelaskan sama ada kerajaan negeri berhasrat menyertai SABAR sebagai pihak plaintif atau berada di pihak kerajaan Persekutuan sebagai defendan.
Mahkamah menegaskan kerajaan negeri perlu memilih salah satu daripada dua kedudukan itu dan tidak boleh mengambil pendirian yang samar-samar.
Anuar berkata kerajaan negeri sebelum ini mengemukakan afidavit yang menyatakan pendiriannya “hampir selari” dengan pihak plaintif. Namun, pada masa sama kerajaan negeri memohon mencelah sebagai pihak responden, iaitu di pihak kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, hakim mahukan penjelasan yang lebih jelas dan tidak mengelirukan. Susulan itu, Peguam Besar Negeri memberikan komitmen untuk mengemukakan afidavit tambahan bagi membetulkan dan memperjelas pendirian kerajaan negeri, termasuk menyatakan sokongan terhadap tuntutan SABAR.
Antara tuntutan utama SABAR ialah mendapatkan pengisytiharan bahawa Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Laut Wilayah 2012 tidak berperlembagaan. Tuntutan itu turut membabitkan persoalan kesahan Akta Pembangunan Petroleum 1974.
Menurut Anuar, prosiding akan disambung pada Selasa, 1 Disember 2026. Mahkamah dijangka memutuskan permohonan kerajaan negeri untuk mencelah dan menentukan kedudukan sebenar kerajaan Sabah, sama ada menyokong SABAR atau bersama kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata sekiranya kerajaan negeri memilih mencelah sebagai defendan, ia bermakna kerajaan Sabah berada di pihak kerajaan Persekutuan dalam prosiding itu.
Sebaliknya, jika kerajaan negeri memilih mencelah sebagai plaintif dan menyokong tuntutan SABAR, keputusan itu perlu disusuli tindakan konkrit.
“Jika kerajaan negeri memilih berada di pihak defendan, kita boleh mengkritik pendirian itu dengan tegas. Tetapi jika memilih bersama SABAR sebagai plaintif, kita akan menyambut baik keputusan itu dan mendesak kerajaan negeri menyediakan dana RM500,000 untuk membiayai khidmat pakar undang-undang antarabangsa,” katanya.
Langkah itu dapat membantu memperkukuh hujah dan kedudukan Sabah dalam perjuangan mempertahankan hak wilayah dan sumber petroleum negeri.
– TV Sabah
