Oleh: Nurul.N
KOTA KINABALU: Le Méridien Kota Kinabalu menganjurkan Majlis Penyalaan Pokok Krismas tahunan pada 22 November 2026 dengan kehadiran lebih 50 tetamu, sekali gus mengetengahkan bakat 24 pelajar semester akhir Fakulti Muzik, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi persembahan koir dan kuartet alat muzik bertali.
Persembahan itu menjadi antara tarikan utama majlis apabila kumpulan koir membuat persembahan awam buat pertama kali, diiringi empat pemuzik kuartet dengan lagu-lagu klasik Krismas.
Pengurus Besar Le Méridien Kota Kinabalu, Suresh Ramasamy berkata sambutan tahun ini bukan sekadar meraikan tradisi Krismas, malah membuka peluang kepada bakat tempatan untuk memperkenalkan kebolehan mereka kepada masyarakat.
“Krismas mengingatkan kita tentang kegembiraan yang tercipta bila semua orang berkumpul. Tahun ini, kita mahu sambutan ini lebih dari upacara penyalaan pokok dengan mencipta kenangan istimewa untuk tetamu dan memberi peluang kepada bakat muda tempatan untuk menyerlah,” katanya.
Majlis itu turut menyaksikan sekumpulan kanak-kanak mengambil bahagian dalam upacara penyalaan pokok Krismas menggunakan alat penunjuk laser untuk menerangi bintang di puncak pokok.
Pihak hotel turut memperkenalkan Christmas Wish Project, inisiatif kebajikan untuk memenuhi permintaan hadiah Krismas penghuni Bukit Harapan.
Inisiatif yang berlangsung dari 22 November hingga 18 Disember 2026 itu menggalakkan orang ramai menyumbang hadiah berdasarkan senarai keinginan penghuni pusat terbabit.
Usaha itu mencerminkan komitmen hotel dalam menyemarakkan semangat memberi dan menyokong pembangunan bakat muda termasuk komuniti setempat.
