Oleh: Nurul.N
KOTA KINABALU: Seramai 30 persatuan masyarakat Cina di Parlimen Penampang menerima sumbangan berjumlah RM185,000 dari Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick. Sumbangan itu menerusi peruntukan khas Ahli Parlimen bagi menyokong aktiviti kemasyarakatan.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah berkata, sumbangan itu inisiatif berterusan sejak tahun lalu untuk membantu persatuan melaksanakan program dan aktiviti masing-masing.
“Sumbangan ini merupakan sokongan untuk persatuan masyarakat Cina di Parlimen Penampang, membolehkan mereka meneruskan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat untuk ahli dan masyarakat setempat,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-30 dan pelantikan barisan kepimpinan baharu Penampang Chinese Chamber of Commerce and Industry (PCCCI) di Pacific Sutera, malam tadi.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, kerajaan negeri mengiktiraf peranan dewan perniagaan dalam pembangunan ekonomi dan perindustrian Sabah.
Katanya, pengiktirafan itu antaranya menerusi pelantikan wakil kepimpinan PCCCI sebagai Ahli Lembaga Pengarah KKIP Sdn Bhd dan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah.

Beliau mengajak semua dewan perniagaan di Sabah berganding bahu memajukan negeri ini.
“Sabah adalah negeri kita, ini bumi kita. Marilah kita majukan Sabah bersama-sama. Sekiranya terdapat perbezaan pandangan, inilah tempatnya untuk kita berbincang,” katanya.
Kementeriannya turut merancang memperkenalkan geran bantuan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sektor perkhidmatan tahun hadapan. Ia termasuk bantuan untuk koperasi, penjaja dan peniaga kecil.
Antara 30 penerima sumbangan ialah Penampang Chinese Welfare Society Sabah, Persatuan Hakka Daerah Penampang, Persatuan Warga Emas Penampang, PCCCI, Fook Tet Kung Temple dan Persatuan Kebajikan Kapitan Cina Sabah.
