Oleh David E.
KOTA KINABALU: Nilai kontrak syarikat tempatan Sabah dalam sektor minyak dan gas meningkat hampir sembilan kali ganda kepada lebih RM3 bilion tahun ini berbanding kira-kira RM340 juta pada 2021.
Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, peningkatan itu susulan pelaksanaan Commercial Collaboration Agreement (CCA) bersama PETRONAS pada 2021. Menjelang akhir tahun ini, syarikat Sabah dijangka menguasai 50 peratus pegangan kontrak, pencapaian tertinggi dalam sejarah penyertaan syarikat tempatan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kejayaan itu didorong peranan aktif Sub-Jawatankuasa 4 (SC4) yang bekerjasama dengan SMJ Energy, PETRONAS dan rakan pengendali industri sesuai dasar kerajaan negeri memberi peluang kontrak, pekerjaan dan pendapatan untuk syarikat tempatan.
“Penyertaan ekuiti dan hasil untuk negeri adalah penting, tetapi matlamat sebenar kita ialah memastikan perniagaan dan tenaga kerja tempatan turut menikmati manfaat secara langsung dari kejayaan industri ini,” katanya pada Majlis Makan Malam ‘Back to The 70’s’ anjuran Sabah Oil and Gas Services Council (SOGSC) di Magellan Sutera Resort, malam Sabtu.
Masidi yang juga Pengerusi SMJ Energy berkata, Kerajaan Negeri melaksanakan Pelan Hala Tuju Strategik OGSE Sabah menerusi lima komitmen utama merangkumi pembukaan peluang kerja bernilai tinggi termasuk kerja brownfield dan operasi laut dalam, pembangunan jurutera dan juruteknik muda Sabah, pembiayaan lebih kompetitif untuk vendor tempatan, pengukuhan pengesahan vendor dan semakan kandungan tempatan, bersama kerjasama MINDET, SMJ Energy, PETRONAS dan rakan pengendali industri.
Beliau menegaskan, syarikat tempatan perlu memberi tumpuan kepada keupayaan teknikal, pembangunan tenaga kerja mahir, daya saing kos dan tadbir urus. Pemberian keutamaan perlu disertai keupayaan vendor Sabah menawarkan nilai, kos dan mutu kompetitif.
Beliau turut memberi amaran terhadap amalan ‘Ali Baba’, iaitu penggunaan nama syarikat tempatan sebagai proksi untuk mendapatkan kontrak, sedangkan kerja dan manfaat ekonomi disalurkan kepada pihak lain.
“Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur dengan jalan pintas seperti ini kerana ia menjejaskan integriti pelan pembangunan keupayaan yang dibangunkan bersama PETRONAS. Ia juga merampas peluang syarikat Sabah yang benar-benar layak,” katanya.
Masidi berkata, nilai hasil ekonomi yang kekal di Sabah melalui vendor tempatan terus meningkat sejak CCA ditandatangani pada 2021. Jumlah itu dijangka melebihi RM8 bilion setahun menjelang 2031, bergantung kepada keupayaan syarikat tempatan membangunkan kepakaran, melahirkan tenaga kerja mahir, meningkatkan daya saing dan mengekalkan integriti.
Beliau menghargai peranan SOGSC sebagai penghubung kontraktor tempatan, syarikat pengendali dan Kerajaan Negeri.
– TV Sabah
