KOTA KINABALU: Sabah kini ada suara dalam dasar farmasi negara selepas mendapat satu kerusi tetap dalam Lembaga Farmasi Malaysia (LFM).
Kabinet Negeri pada Rabu meluluskan penerimaan pakai Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 (Akta 371) untuk memperketat kawal selia profesion farmasi di Sabah.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata wakil Sabah ke LFM akan dicadangkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS). Ia tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Negeri.
“Penerimaan pakai Akta 371 ini amat bertepatan pada masanya ketika Sabah terus memperkukuh sistem kesihatan negeri. Ia memastikan ahli farmasi yang beramal di Sabah memenuhi standard profesional yang diiktiraf, sekali gus memperkukuh perlindungan awam dan keyakinan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Julita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Matunggong berkata, peluasan akta itu membolehkan pengiktirafan kelayakan, pendaftaran ahli farmasi dan perbadanan berkaitan. Tindakan tatatertib untuk kes salah laku profesional turut diperuntukkan.
Penggunaan gelaran “ahli farmasi” dan istilah “farmasi” kini dikawal untuk mengelakkan penyalahgunaan oleh pihak tidak bertauliah.
Akta itu turut membuka laluan kepada institusi pengajian tinggi di Sabah yang bercadang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Farmasi untuk memohon pengiktirafan LFM. Premis latihan untuk Ahli Farmasi Berdaftar Secara Bersyarat (PRP) juga layak mendapat pengiktirafan rasmi.
Akta 371 mula berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia pada 1952 sebelum diperluaskan ke Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 2009. Peluasan ini menyelaraskan Sabah dengan kerangka kawal selia farmasi kebangsaan.
