12 lelaki warga China ditahan disyaki terbabit sindiket penipuan dalam talian

IMG 4294

Oleh: Nurul. N

KOTA KINABALU: Seramai 12 lelaki warga China disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam serbuan di sebuah banglo mewah di kawasan Damai, pada 17 November lalu.

Dalam operasi kira-kira jam 11 pagi itu, pihak imigresen merampas 153 unit telefon bimbit jenama Apple pelbagai model, komputer dan peralatan komunikasi yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan Ops Serkap itu dilaksanakan susulan hasil risikan selama seminggu dengan penglibatan 42 pegawai penguat kuasa JIM dari Ibu Pejabat Kota Kinabalu.

Kesemua lelaki berusia antara 20 hingga 43 tahun itu dipercayai memasuki negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial.

Dari jumlah itu, 10 individu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah. Seorang lagi disyaki tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama.

Seorang lagi disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

IMG 4269

Selain 153 telefon bimbit, pihak imigresen merampas 11 komputer, sebuah unit pemprosesan pusat (CPU), sebuah mesin pencetak, 13 router, tujuh pengecas USB, tujuh bekalan kuasa, 22 kad SIM, tiga pasport Republik Rakyat China dan wang tunai pelbagai mata wang berjumlah RM184.15.

Kesemua suspek ditempatkan di Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk membantu siasatan lanjut.

Dalam perkembangan berasingan, JIM Keningau menahan dua lelaki warga China di kawasan Tamu Ground, Keningau pada 5 November lalu kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Siasatan awal mendapati seorang daripada mereka memegang Pas Kerja sebagai Jurutera Pembinaan. Namun, beliau dipercayai menyalahgunakan pas berkenaan dengan menjalankan aktiviti perniagaan melalui penjualan barangan di tamu.

JIM Sabah menegaskan komitmennya untuk terus mempergiat penguatkuasaan dan pemantauan untuk membendung pelanggaran undang-undang imigresen.

Orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika terdapat kegiatan mencurigakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal