RANAU: Bundu Tuhan kini ada tarikan baharu. Menerusi penganjuran sulung Festival Sundu Winorun, khazanah kesusasteraan lisan masyarakat Dusun mula dilihat bukan sekadar warisan lama, malah produk pelancongan yang mampu menjana ekonomi komuniti.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, berkata festival itu membuktikan pemuliharaan adat resam tidak terhenti pada aspek tradisi semata-mata.

“Jika Kota Belud terkenal dengan Pesta Jagung dan Kundasang dengan Pesta Kubis, Bundu Tuhan kini mencipta identiti tersendiri menerusi Festival Sundu Winorun,” katanya ketika merasmikan festival itu di Dewan Don Bosco, Bundu Tuhan, kelmarin.
Beliau berkata keunikan festival julung kali itu terletak pada gabungan tiga teras utama iaitu kebudayaan, pendidikan dan pelancongan komuniti.

Kehadiran pelancong luar negara, katanya, membuktikan produk budaya tempatan mempunyai nilai pasaran.
“Komuniti perlu bijak mengkomersialkan khazanah ini agar memberi pulangan ekonomi secara langsung tanpa mengorbankan keaslian warisan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kundasang itu menegaskan sambutan positif pelajar sekolah dalam pertandingan seni puisi tradisional Lilihis memberi jaminan bahawa khazanah bahasa ibunda itu akan terus diwarisi generasi muda.
Pada majlis itu, beliau menyempurnakan gimik penanaman bibit sogumau sebagai simbolik permulaan musim menanam mengikut ritual tradisi Moi Patod. Beliau turut melancarkan enam produk kebudayaan dan pelancongan Bundu Tuhan.

Antaranya peta tekstil landskap budaya berkod QR, buku glosari antologi Lilihis, naskah memori kolektif komuniti, siri buku cerita kanak-kanak dan tiga minuman kesihatan Usahanita Dumowongi.
Dalam Pertandingan Tangad Lunduan Lilihis yang turut julung kali dipertandingkan, tiada pasukan berjaya melepasi markah minimum 97 peratus untuk merangkul Piala Lunduan Lilihis.
Anugerah Gemilang (Bontugon) Kategori 1 (Berkumpulan) dimenangi pasukan Tulinau dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sagiban, Ranau; Tabut (SK Bundu Tuhan, Ranau); dan Sinuau Highlanders dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bundu Tuhan, Ranau.
Anugerah Unggul (Royohon) kategori sama diraih Sundu Kinomulok dari SMK Tandek, Kota Marudu.
Turut hadir Pengerusi Penganjur Festival Sundu Winorun, Adrian Soidi, dan Pengerusi Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Bundu Tuhan, Joaneseh James Ghani.
