Oleh David E.
RANAU: Bagi keluarga kurang berkemampuan di sekitar Lohan, malam Sabtu di Perkasa Hotel Kundasang bukan sekadar majlis makan malam amal. Ia mesej jelas bahawa anak-anak mereka tidak akan dibiarkan tercicir.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, berkata sokongan sekolah, ibu bapa dan komuniti penting untuk memastikan setiap pelajar mendapat peluang adil untuk belajar dan mengembangkan potensi diri.
Menurut beliau, latar belakang keluarga tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada seseorang pelajar untuk mencapai kejayaan.
“Janganlah kita membiarkan kekangan kewangan menjadi penghalang kepada anak-anak untuk belajar, berkembang dan mencapai cita-cita mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lohan 2026 di Perkasa Hotel Kundasang.
Masidi yang juga ADUN Karanaan berkata majlis amal itu manifestasi keprihatinan bersama terhadap pendidikan anak-anak. Ia juga platform mengumpul dana untuk menambah baik kemudahan sekolah dan menyokong program akademik dan kokurikulum.
“Kecemerlangan pelajar tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi turut merangkumi pembentukan sahsiah, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dan penerapan nilai-nilai murni,” katanya.
Beliau yakin penglibatan berterusan PIBG dan komuniti akan membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih kondusif dan memastikan keperluan setiap pelajar diberikan perhatian sewajarnya.
Masidi merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, alumni, agensi kerajaan, sektor swasta dan semua penyumbang. Setiap sumbangan, katanya, pelaburan penting dalam pembangunan generasi muda.
Majlis itu turut dihadiri Pengetua SMK Lohan, Hamie Kumil, dan Yang Dipertua PIBG SMK Lohan, Md Yusuf Md Kahar.
