Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 31 tahun maut dipercayai ditikam menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di Sulaman Sentral, Kuala Manggatal, awal pagi tadi.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.44 pagi selepas dibawa ahli keluarganya ke Hospital Likas dalam keadaan kritikal.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai bermula dengan pertengkaran suspek berusia 38 tahun dengan seorang penjual makanan di luar sebuah kafe. Suspek kemudian cuba menikam lelaki itu menggunakan pisau lipat.
Penjual makanan itu bagaimanapun berjaya melarikan diri, namun dikejar suspek.
Mangsa yang berada di sebuah pusat snuker berhampiran cuba menghalang suspek yang sedang mengejar lelaki tersebut.
Suspek kemudian mengambil sebilah pisau pemotong daging sebelum menikam mangsa ketika terserempak dengannya di tangga bersebelahan sebuah premis perniagaan.
Mangsa sempat melarikan diri sebelum rebah di kawasan parkir kenderaan berhampiran.
Motif kejarian dipercayai rasa tidak puas hati suspek terhadap penjual makanan itu.
Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan menemukan beberapa barang kes termasuk sampel untuk dianalisis.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat pada 15 November. Bedah siasat itu akan menentukan punca sebenar kematian.
Polis kini giat mengesan dan memburu suspek. Usaha mendapatkan saksi lain yang berada di sekitar lokasi kejadian juga diteruskan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
